Pembebasan tahanan Palestin bertukar pahit, dihalau ke negara ketiga

Banduan Palestin yang dibebaskan tiba di Semenanjung Gaza selepas dilepaskan dari penjara Israel di bawah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Khan Younis. Foto AP
Banduan Palestin yang dibebaskan tiba di Semenanjung Gaza selepas dilepaskan dari penjara Israel di bawah perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel di Khan Younis. Foto AP
A
A
A

GAZA - Pembebasan tahanan Palestin oleh Israel di bawah perjanjian pertukaran tawanan diselubungi rasa pahit apabila ramai antara mereka diarahkan meninggalkan tanah air dan dihantar ke negara ketiga.

Menurut Pejabat Media Tahanan Palestin, seramai 154 tahanan yang dibebaskan pada Isnin terpaksa dibuang negeri oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran dengan Hamas dan kumpulan Palestin lain, yang turut menyaksikan 20 tebusan Israel dibebaskan di Gaza.

Kesemua mereka termasuk dalam kumpulan 250 tahanan Palestin yang dibebaskan bersama kira-kira 1,700 rakyat Palestin dari Gaza yang ditahan sepanjang dua tahun peperangan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyifatkan ramai antara mereka sebagai telah “hilang secara paksa.”

Buat masa ini, masih belum jelas negara mana yang akan menerima mereka, namun dalam pembebasan terdahulu pada Januari lalu, puluhan tahanan telah dihantar ke Tunisia, Algeria dan Turkiye.

Pemerhati menyifatkan tindakan Israel itu melanggar hak kewarganegaraan tahanan Palestin dan menggambarkan sikap “double standard” dalam perjanjian pertukaran tersebut.

Pensyarah Dasar Awam di Doha Institute for Graduate Studies, Dr Tamer Qarmout berkata, pengusiran itu bersifat tidak berperikemanusiaan.

“Ini tindakan yang menyalahi undang-undang kerana mereka warganegara Palestin dan tidak memiliki kewarganegaraan lain.

"Mereka dibebaskan dari penjara kecil, hanya untuk dihantar ke penjara yang lebih besar - jauh dari keluarga dan masyarakat mereka,” katanya kepada Al Jazeera.

Artikel Berkaitan:

Di Ramallah, keluarga kepada tahanan Muhammad Imran terkejut apabila dimaklumkan, dia antara yang akan diusir, walaupun sebelum ini diberitahu dia akan dibebaskan di rumah sendiri.

“Kami terkejut, tapi masih menunggu. Yang penting dia bebas, walau di mana pun,” kata abangnya, Raed Imran.

Namun, bagi banyak keluarga, pengusiran ini bermakna mereka mungkin tidak akan berpeluang bertemu semula dengan insan tersayang kerana Israel masih mengawal sempadan dan pergerakan keluar masuk wilayah Palestin.

Qarmout menyifatkan langkah Israel itu sebagai strategi untuk menghapuskan pengaruh politik tahanan yang dibebaskan serta menghukum secara kolektif keluarga mereka.

“Pembuangan negeri ini bermakna pengakhiran masa depan politik mereka. Ia juga memberi kelebihan kepada Israel kerana tahanan Israel yang dibebaskan boleh kembali ke rumah mereka yang merupakan satu lagi contoh hipokrasi yang ketara,” katanya. - Agensi/Awani

Ringkasan AI

  • Pembebasan tahanan Palestin oleh Israel memerlukan mereka meninggalkan tanah air dan dihantar ke negara ketiga
  • Seramai 154 tahanan Palestin dibuang negeri sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tawanan dengan Hamas
  • Tindakan Israel dipandang sebagai pelanggaran hak kewarganegaraan dan menunjukkan sikap double standard
  • Pengusiran tahanan Palestin dilihat sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan dan mereka dianggap hilang secara paksa oleh PBB
  • Keluarga tahanan Palestin terjejas kerana kemungkinan tidak dapat bertemu kembali disebabkan kontrol sempadan oleh Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!