Syarikat tempatan hasilkan diesel kualiti tinggi daripada sisa plastik

Sampah plastik yang akan akan melalui proses inovasi kepada diesel.
Sampah plastik yang akan akan melalui proses inovasi kepada diesel.
A
A
A

BACHOK – Inovasi hijau demi kelestarian alam hasil kepakaran tempatan terus terbukti apabila syarikat pemula, Mensilin Green Energy berjaya membangunkan teknologi yang menukar sisa plastik kepada minyak diesel berkualiti tinggi gred Euro5 (EN590).

Teknologi dikenali sebagai Plastic-to-Fuel (PTF) itu sekali gus membuka potensi baharu dalam pengurusan sisa dan tenaga boleh diperbaharui negara.Ketua Pegawai Eksekutif Mensilin Green Energy, Ahmad Luqman Mohamad Adan berkata, PTF menggunakan proses penguraian polimer secara berperingkat yang mampu menghasilkan sehingga 80 peratus bahan api bagi setiap satu kilogram sisa plastik yang diproses, bersamaan hampir satu liter diesel.

Menurut beliau, teknologi melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama 14 tahun itu kini beroperasi di sebuah kilang Tepoh, Kuala Terengganu sejak 2023 dengan kapasiti pengeluaran sekitar 300 liter sehari serta disokong oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Produk dinamakan Green Diesel ini rendah sulfur, bernilai cetane tinggi dan memberikan prestasi enjin lebih baik dengan pelepasan karbon yang jauh lebih rendah berbanding diesel konvensional.

“Kami satu-satunya syarikat di Malaysia, malah di dunia, yang berjaya menghasilkan diesel Euro 5 terus daripada sisa plastik melalui kaedah ini,” katanya ketika ditemui selepas menjadi panel sempena MOSTI Tech Talks Siri Ke-6 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Selasa.

 

Plastik yang dikutip digunakan untuk menghasilkan diesel berkualiti tinggi.
Plastik yang dikutip digunakan untuk menghasilkan diesel berkualiti tinggi.

Ahmad Luqman berkata, syarikat itu kini dalam usaha meningkatkan kapasiti kepada 10,000 liter sehari menjelang fasa pengembangan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, bahan mentah yang juga sampah plastik bagi proses tersebut diperoleh daripada tapak pelupusan dan pengumpul kitar semula di seluruh Terengganu termasuk Sungai Ikan, RD Paper dan Everlantern selain perancangan untuk memperluas operasi ke Selangor pada masa depan.

Selain menghasilkan diesel, kajian lanjut turut dijalankan bagi mengkomersialkan produk sampingan seperti jelaga karbon, grafit dan arang teraktif yang boleh digunakan dalam industri semikonduktor dan penapis air.

“Kami mahu mengurangkan pencemaran sisa plastik dan memaksimumkan nilai ekonomi.

“Pasaran luar seperti Thailand turut menunjukkan permintaan tinggi, dengan harga jualan mencecah RM3.30 seliter,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, MOSTI komited menyokong syarikat pemula tempatan yang membangunkan teknologi tinggi seperti Mensilin Green Energy melalui pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) dan KL20 Action Plan.

“Negara mahu melahirkan lebih ramai usahawan teknologi tinggi.

“Langkah juga akan membuka ruang pelaburan global, pembangunan teknologi berimpak tinggi yang mampu menjana pekerjaan berkemahiran selain mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!