Kerap kemalangan, lampu dipasang di Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli dan Lojing–Gua Musang

Laluan di Gua Musang antara kawasan kerap kemalangan. Gambar kecil: Nik Badlihisham
Laluan di Gua Musang antara kawasan kerap kemalangan. Gambar kecil: Nik Badlihisham
A
A
A

KOTA BHARU – Beberapa laluan utama yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan, termasuk Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli dan laluan Lojing–Gua Musang, akan dipasang lampu jalan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna pada waktu malam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail, berkata pemasangan lampu jalan itu dilaksanakan susulan keadaan jalan yang gelap, berselekoh serta kerap berlaku kemalangan, terutama berhampiran kawasan sekolah dan penempatan penduduk.

Menurutnya, antara lokasi terlibat termasuk laluan FT004 Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli dan FT066 Kampung Sungai Sam–Jeli, FT008 Kota Bharu–Gua Musang serta FT185 Lojing–Gua Musang, selain beberapa laluan lain di Tanah Merah dan Tumpat.

“Projek pemasangan lampu jalan ini bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Laluan-laluan ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kemalangan berdasarkan input daripada Polis Diraja Malaysia, jurutera jajahan serta penilaian teknikal JKR sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Cabutan Kerja Undi JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bilangan 1/2026 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, di sini, pada Selasa.

Laluan di Gua Musang antara yang akan dipasang lampu jalan.
Laluan di Gua Musang antara yang akan dipasang lampu jalan.

Nik Badlihisham berkata, bagi tahun ini, JKR Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM6.62 juta bagi penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, katanya, RM4 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat, manakala RM2.62 juta bagi pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan serta kawasan berisiko akibat keadaan jalan gelap.

“Sebanyak 63 senarai kerja ditawarkan melalui cabutan undi kali ini melibatkan kerja penggantian lampu LED, penyelenggaraan lampu jalan serta lampu isyarat dengan nilai projek antara RM50,000 hingga RM200,000 mengikut lokasi dan skop kerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 189 kontraktor elektrik dari seluruh Kelantan mendaftar untuk menyertai cabutan kerja undi berkenaan, namun 12 kontraktor terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi syarat kelayakan, termasuk tiada pengkhususan bidang kerja dan kegagalan mematuhi Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC).

“Selepas tapisan dibuat, seramai 177 kontraktor disahkan layak menyertai cabutan kerja undi ini.

“Aspek pematuhan cukai sangat penting dan perlu diberi perhatian oleh kontraktor supaya tidak menjejaskan peluang mereka pada masa akan datang,” katanya.

Ringkasan AI

  • Laluan utama di Kelantan termasuk Jalan Raya Timur-Barat Gerik–Jeli akan dipasang lampu jalan untuk meningkatkan keselamatan
  • Pemasangan lampu jalan adalah respons kepada keadaan jalan yang gelap dan berisiko kemalangan
  • Projek ini bertujuan meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya
  • JKR Kelantan menerima peruntukan RM6.62 juta bagi penyelenggaraan dan pemasangan lampu jalan
  • Seramai 189 kontraktor mendaftar untuk projek ini, tetapi 12 ditolak kerana tidak memenuhi syarat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!