'Bukan penjara tapi rumah penyembelihan'

RAMALLAH - Sebahagian keluarga tahanan Palestin yang dibebaskan pada Isnin kembali berduka setelah seramai 154 orang akan dihantar untuk hidup dalam buangan.
Menurut Pejabat Media Palestin kumpulan tersebut berdepan langkah deportasi seperti ditetapkan di bawah perjanjian pertukaran tahanan bersama Israel.
Tetapi, masih tiada maklumat jelas tentang destinasi mereka.
Ketika pembebasan tahanan Palestin pada Januari lalu, puluhan yang dikenakan tindakan serupa telah dihantar ke beberapa negara seperti Tunisia, Algeria dan Turkiye.
Pembebasan kumpulan itu termasuk tahanan dihukum penjara seumur hidup dan mereka yang meringkuk di sebalik tirai besi selama puluhan tahun disambut dengan gembira oleh ribuan penduduk Palestin.
Abdallah Abu Rafe menyifatkan ia sebagai satu kelegaan besar buat mereka.
"Kami berada dalam rumah penyembelihan dan bukannya penjara. Ramai saudara kami masih di sana. Situasi di Penjara Ofer itu sangat sukar buat kami," ujarnya.
Seorang lagi rakannya, Yasin Abu Amra berkata, keadaan di pusat tahanan Israel sangat teruk.
"Segala-galanya mengerikan termasuk makanan dan penyeksaan berterusan. Kami tidak diberi makan atau minum sepanjang di penjara. Kami dipaksa berlapar," keluhnya.
Bagi Saed Shubair, dia tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaannya.
"Melihat matahari tanpa halangan jeriji besi adalah detik amat bermakna buat saya. Tangan saya bebas daripada gari. Kebebasan amat berharga," ujarnya.
Media melaporkan kebanyakan tahanan Palestin memerlukan rawatan segera, namun keadaan hospital yang semakin kritikal di Gaza menyebabkan mereka terpaksa dirawat di tempat lain dan menunggu giliran pemindahan perubatan. - Agensi
Info:
>Lebih 10,000 penduduk Palestin kekal ditahan secara tidak sah di penjara Israel.
>Seramai 1,968 tahanan Palestin telah dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan.
>Pada Isnin, pembebasan itu melibatkan 88 tahanan Palestin yang kemudiannya dihantar ke Tebing Barat. Seramai 1,968 termasuk 1,700 penduduk Gaza dihantar semula ke wilayah tersebut yang sudah binasa teruk manakala 154 yang lain diarahkan hidup dalam buangan.
Ringkasan AI
- Sebahagian keluarga tahanan Palestin yang dibebaskan berduka kerana 154 orang akan dihantar untuk hidup dalam buangan Destinasi mereka masih tiada maklumat jelas Pembebasan melibatkan tahanan yang dihukum seumur hidup dan yang telah di penjara selama puluhan tahun Keadaan di pusat tahanan Israel sangat teruk, termasuk makanan dan penyeksaan berterusan Lebih 10,000 penduduk Palestin kekal ditahan secara tidak sah di penjara Israel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

