Hati hitam legam dengki lihat kejayaan orang

Misi Global Sumud Flotilla bukan misi biasa kerana mereka mewakili solidariti dan komitmen rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Misi Global Sumud Flotilla bukan misi biasa kerana mereka mewakili solidariti dan komitmen rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
A
A
A

DALAM dunia tanpa sempadan hari ini, semua orang boleh bersuara. Setiap isu, sama ada kecil atau besar, mudah menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi.

Namun, tidak semua suara itu membina. Ada yang menegur dengan cermat, dan ada pula yang menegur dengan nada menghina.

Baru-baru ini, tular kenyataan seorang pemilik akaun media sosial yang memperlekeh usaha aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) dalam Misi Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan ke Gaza. Kritikan berbaur sindiran itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat, khususnya mereka yang memahami cabaran ditempuh peserta misi kemanusiaan.

Apa yang dilakukan oleh ZRA dan pasukan GSF bukan perkara kecil. Ia menuntut keberanian, pengorbanan dan semangat tinggi untuk membantu mangsa di wilayah bergolak di Palestin.

Mereka meninggalkan keluarga, mengharungi risiko keselamatan serta berdepan kekangan logistik semata-mata untuk memastikan bantuan sampai kepada insan yang amat memerlukan. Sedangkan kita, yang selesa di tanah air, hanya melihat dari jauh.

Jadi, timbul persoalan, adakah adil untuk kita mengecam mereka yang berjuang, sedangkan kita sendiri tidak pernah menyumbang?

Kritikan membina sememangnya perlu, tetapi biarlah ia lahir daripada niat yang tulus dan berasaskan fakta. Menegur bukan bererti menghina.

Namun, media sosial kini sering berubah menjadi pentas sindiran dan ejekan sehingga ada kalanya menutup ruang untuk memahami niat sebenar di sebalik perjuangan.

Dalam hal ini, individu terbabit mungkin berhak bersuara, namun cara dan nadanya harus diperhalusi. Apabila sesuatu teguran disampaikan tanpa empati, ia mudah bertukar menjadi serangan peribadi yang hanya menjatuhkan maruah orang lain.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyedihkan apabila ia ditujukan kepada mereka yang sedang berbakti kepada masyarakat. ZRA bukan nama asing dalam dunia kemanusiaan.

Beliau sudah lama aktif dalam pelbagai misi, termasuk membuat liputan di kawasan bergolak, selain lantang bongkar isu penjajahan Palestin oleh rejim Zionis sejak puluhan tahun lalu.

Misi Global Sumud Flotilla pula bukan misi biasa. Ia mewakili solidariti dan komitmen rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Ia juga membuktikan bahawa dalam dunia penuh konflik, masih ada individu yang memilih untuk mengorbankan jiwa dan raga demi membantu mereka yang dicengkam kezaliman rejim Zionis.

Apabila usaha sebegini diperlekeh, ia bukan sahaja menggores hati ZRA, tetapi turut menjejaskan semangat kemanusiaan seluruh pasukan.

Jika ada kekurangan dalam pelaksanaan misi ini, hulurkanlah nasihat dengan berhemah. Jika tidak mampu membantu dari segi tenaga atau kewangan, cukuplah dengan doa dan sokongan moral.

Dunia ini sudah cukup keras untuk mereka yang berbuat baik. Janganlah kita menambah beban dengan kecaman tidak berasas.

Pepatah Melayu ada menyebut, “Jika tidak mampu menjadi garam yang mengasin, jangan pula menjadi langau yang menghurung.”

Begitulah juga dalam konteks perjuangan kemanusiaan. Jika kita tidak mampu menyertai, jangan pula kita menjadi suara yang melemahkan semangat mereka yang sedang berkorban.

Apa yang dilakukan oleh ZRA dan GSF wajar dijadikan inspirasi. Mereka mungkin tidak sempurna, tetapi mereka bergerak dan berbuat sesuatu, bukan sekadar berbicara.

Dalam dunia yang penuh dengan suara kosong, tindakan sebegini jauh lebih bermakna. Kita mungkin tidak tahu berapa ramai nyawa yang diselamatkan atau hati yang terubat hasil usaha mereka.

Namun yang pasti, niat baik tidak sepatutnya dijadikan bahan cemuhan. GSF merupakan usaha antarabangsa yang bertujuan membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza, melalui matlamat utama memecah sekatan dan menyatukan suara global untuk kebebasan Palestin.

Bagi mereka yang berjuang di lapangan, penghargaan paling besar bukanlah pujian, tetapi cukuplah kita sama-sama buktikan bahawa pengorbanan mereka dihargai.

Dunia ini mungkin terasa berat bagi mereka yang ikhlas dalam menegakkan kebenaran dan mudah bagi mereka yang 'bijak' mengambil kesempatan.

Kalau tidak mampu menyumbang, usahlah mengeji mereka yang berjuang.

*Norhaspida Yatim ialah Ketua Biro Sinar Harian Terengganu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!