GSF: Semua rakyat Malaysia akan dihantar pulang melalui negara ketiga

Sebuah bot dari Global Sumud Flotilla yang dipintas oleh tentera Israel di Laut Mediterranean berhampiran perairan Gaza, sedang dikawal menuju ke pelabuhan selatan Ashdod pada 2 Oktober 2025. Foto AFP
Sebuah bot dari Global Sumud Flotilla yang dipintas oleh tentera Israel di Laut Mediterranean berhampiran perairan Gaza, sedang dikawal menuju ke pelabuhan selatan Ashdod pada 2 Oktober 2025. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam pelayaran menuju ke Gaza menerusi misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Kementerian Luar Negeri memaklumkan, mereka yang ditahan oleh tentera Israel kini berada dalam keadaan selamat dan sihat.

"Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengeluarkan arahan kepada perwakilan di Kedutaan Besar Malaysia di Amman dan Kaherah untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan negara-negara ASEAN di Tel Aviv.

"Kementerian ini akan memastikan mereka menerima sokongan serta bantuan konsular yang diperlukan bagi menjamin kepulangan selamat mereka ke Malaysia.

"Kerajaan Malaysia akan terus komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kementerian itu turut memaklumkan, kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya bagi menjamin keselamatan serta memastikan pembebasan segera peserta GSF khususnya 15 rakyat Malaysia yang telah ditahan rejim Zionis.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad telah berhubung dengan beberapa pemimpin dan rakan sejawat negara sahabat termasuk Amerika Syarikat bagi mendapatkan kerjasama mereka dalam hal ini.

"Kerajaan turut menegaskan bahawa penahanan peserta GSF adalah tidak sah dan menuntut agar mereka dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta dibebaskan dengan segera," kata kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Semua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel akan dihantar pulang melalui negara ketiga
  • Mereka yang ditahan berada dalam keadaan selamat dan sihat
  • Kementerian Luar berusaha mendapatkan kerjasama kedutaan ASEAN di Tel Aviv untuk sokongan dan bantuan konsular
  • Kerajaan Malaysia komited menjaga keselamatan rakyat Malaysia di luar negara
  • Penahanan peserta GSF oleh rejim Zionis dianggap tidak sah dan menuntut pembebasan segera selaras dengan undang-undang antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!