[VIDEO] Buruh binaan mengaku guna dokumen palsu mohon MyKad anak angkat

A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang buruh binaan didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu anak angkatnya berusia 12 tahun ketika membuat permohonan kad pengenalan pada tahun lalu.

Tertuduh, Hoo Kean Chee, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien di Mahkamah Majistret 2 di sini pada Selasa.

Tertuduh (kanan) dibawa pegawai JPN ke Kompleks Mahkamah Butterworth pada Selasa.
Tertuduh (kanan) dibawa pegawai JPN ke Kompleks Mahkamah Butterworth pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, Kean Chee didakwa dengan sengaja memberikan maklumat palsu dengan mengemukakan butir material JPN.LM05 yang mengandungi maklumat palsu untuk mendapatkan kad pengenalan bagi Choo Li Quan Daftar Lahir CQ56002) dan menjadi penganjur permohonan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kaunter Bahagian Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Seberang Perai Utara antara jam 8 pagi hingga 5 petang pada 21 Februari lalu.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membuat permohonan kad pengenalan kanak-kanak itu di JPN cawangan Bertam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, petugas JPN mengesan keraguan apabila wajah kanak-kanak itu tidak seiras dengan individu yang mengaku sebagai ibu bapanya.

Susulan daripada itu, kes berkenaan dirujuk ke Bahagian Siasatan JPN untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan, kanak-kanak lelaki itu diperoleh daripada sindiket ketika masih bayi yang mana, kesemua dokumen sokongan adalah palsu.

Akibatnya, kanak-kanak berkenaan telah menikmati keistimewaan sebagai warganegara Malaysia secara tidak sah selama 12 tahun.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Mohammad Faisal Abdullah manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Anas Hakimi.

Dalam pendakwaannya, Mohammad Faisal memohon denda yang setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatannya itu mendatangkan kegusaran awam.

"Saya mohon denda yang setimpal sebagai pengajaran. Ini kerana perbuatan tertuduh telah mendatangkan kegusaran awam tentang penglibatan sindiket yang cuba menjejaskan keselamatan awam.

"Tambahan pula, penyalahgunaan dokumen jabatan yang didalangi sindiket semakin berleluasa dilaporkan ketika ini," katanya.

Anas kemudiannya memohon mahkamah menetapkan denda yang minimum memandang tertuduh mempunyai tanggungan keluarga dengan gaji RM2,000 sebulan.

"Tertuduh berusia 53 tahun dan menghidap penyakit jantung. Dia bekerja sebagai buruh binaan dan perlu menanggung ibunya yang sudah tua dan uzur.

"Ini adalah kesalahan pertama tertuduh dan oleh itu, saya mohon denda yang minimum terhadapnya," katanya.

Aini Adilah menetapkan denda RM4,000 terhadap tertuduh, namun jika gagal bayar tertuduh akan dipenjara enam bulan.

 

Ringkasan AI

  • Seorang buruh binaan didenda RM4,000 kerana mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu anak angkatnya untuk permohonan kad pengenalan
  • Tertuduh, Hoo Kean Chee, berusia 53 tahun dihadapkan ke mahkamah dan pertuduhan dibacakan dalam bahasa Hokkien
  • Kean Chee didakwa mengemukakan maklumat palsu ke Jabatan Pendaftaran Negara Seberang Perai Utara untuk mendapatkan kad pengenalan
  • Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terlibat menikmati keistimewaan warganegara Malaysia dengan dokumen palsu selama 12 tahun
  • Pendakwaan meminta denda setimpal atas kegusaran awam, sementara pembelaan meminta denda minimum atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga dan gaji rendah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!