Pasangan suami isteri dalang sindiket dokumen palsu dicekup

Wan Mohammed Saupee (tengah) menunjukkan antara dokumen dan peralatan dirampas dalam serbuan dijalankan sebelum ini.
Wan Mohammed Saupee (tengah) menunjukkan antara dokumen dan peralatan dirampas dalam serbuan dijalankan sebelum ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Licik dan tersusun, itulah kegiatan rapi dijalankan oleh sepasang suami isteri warga Indonesia yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen dan cap imigresen gred A sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan jenayah itu akhirnya terbongkar selepas pasangan terbabit antara lima individu yang ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah rumah sekitar Pandan, pada Rabu.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pasangan berkenaan dikesan menggunakan pelbagai peralatan canggih untuk menghasilkan dokumen palsu.

“Siasatan mendapati sindiket ini menghasilkan dokumen palsu menggunakan pencetak beresolusi tinggi, selain turut menyediakan resit rasmi yang kononnya dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia bagi setiap transaksi.

“Sindiket ini dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga tahun lalu, dan tangkapan ini merupakan sebahagian daripada siri tangkapan yang dijalankan sejak tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JIM Kuala Lumpur, pada Khamis.

Katanya, sindiket menggunakan taktik licik yang sukar dikesan, termasuk menghasilkan cap keselamatan palsu.

“Sindiket menggunakan taktik yang sukar dikesan dengan mata kasar, namun dengan kecekapan pegawai JIM, kegiatan ini berjaya dikesan.

“Cap keselamatan palsu ini dipercayai diperoleh menerusi rangkaian jenayah antarabangsa yang berpangkalan di Indonesia,” katanya.

Menurut beliau, siasatan mendapati sindiket menawarkan perkhidmatan pencetakan Malaysian Pass dengan caj RM50 dan cap keluar masuk palsu yang didakwa daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan juga menunjukkan bahawa pelanggan tidak berurusan secara langsung dengan pasangan ini, sebaliknya hanya melalui ejen yang berperanan sebagai orang tengah.

“Selain itu, sindiket turut mengenakan bayaran RM20 untuk memadam kesan dakwat cap keselamatan dalam pasport, serta mencetak pas lawatan kerja sementara palsu dengan caj RM50 untuk setiap satu,” ujarnya.

Wan Mohammed Saupee berkata, serbuan yang dijalankan turut membawa kepada rampasan set komputer, komputer riba, pencetak beresolusi tinggi, mesin cetak timbul dan beberapa peralatan lain.

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!