[VIDEO] Pekerja swasta mengaku tidak bersalah rogol kenalan wanita di hotel

A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pekerja swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2 di sini atas tuduhan merogol seorang wanita yang juga kenalannya di sebuah hotel di sini dalam kejadian pada Ahad lalu.

Tertuduh, David Lau Heng Seng, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Irwan Suainbon pada Rabu.

Tertuduh dibawa ke mahkamah pada Rabu.
Tertuduh dibawa ke mahkamah pada Rabu.

Mengikut pertuduhan, Heng Seng didakwa telah merogol seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah hotel di sini pada jam 12.15 tengah malam pada 5 Oktober lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh diwakili peguam, Teh See Khoon dan K Sagana.

Dalam pendakwaannya, Jun Keong menawarkan wang jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memohon dua syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati dan mengganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

See Khoon kemudiannya memohon mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan berikutan anak guamnya baharu sahaja menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi.

"Tertuduh berusia 25 tahun dan baru mendapat kerja. Selain itu, penjamin yang juga ibunya merupakan penjawat awam. Saya percaya, wang jaminan adah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah untuk perbicaraan nanti.

"Selain itu, di dalam kes ini, tertuduh sendiri yang membawa plantif ke hospital pada hari kejadian. Oleh demikian, adalah tidak perlu untuk tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana tertuduh tiada niat untuk melarikan diri," katanya.

Irwan kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu tidak mengganggu atau mendekati mangsa sepanjang tempoh perbicaraan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditangguh hingga 12 November untuk sebutan semula.

Difahamkan, mangsa berasal dari Kuala Lumpur dan datang ke negeri ini untuk bercuti.

Mangsa menyewa sebuah bilik hotel di pusat bandar sepanjang tempoh percutiannya.

Ringkasan AI

  • Seorang pekerja swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2 di George Town atas tuduhan merogol kenalannya di hotel
  • Tertuduh, David Lau Heng Seng, 25, mengaku tidak bersalah
  • Didakwa merogol wanita berusia 24 tahun pada 5 Oktober lalu
  • Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara hingga 20 tahun dan sebatan
  • Jaminan ditetapkan RM7,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan menyerahkan pasport

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!