Briged Tengah PGA rekod rampasan RM1.12 bilion

Hakemal dalam sidang akhbar di Pejabat Briged Tengah PGA Cheras pada Isnin.
Hakemal dalam sidang akhbar di Pejabat Briged Tengah PGA Cheras pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan nilai rampasan mencecah RM1.12 bilion pada tahun ini sejak Januari.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, statistik setakat 13 Oktober itu mencatatkan rampasan melibatkan pelbagai kes iaitu sisa elektronik (e-waste), arak, rokok, minyak sawit, mercun serta Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).

Menurutnya, kesemua rampasan dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Briged Tengah PGA dengan keberhasilan melebihi RM465.2 juta, Batalion 4 (lebih RM91.6 juta), Batalion 5 (lebih RM305.3 juta), Batalion 6 (lebih RM150.6 juta) serta Batalion 19 (lebih RM116.9 juta).

"Bagi kes pendatang asing tanpa izin (PATI), dalam tempoh sama kita (Briged Tengah) telah berjaya menahan 774 PATI.

"Jumlah ini membabitkan 77 warga Myanmar, Bangladesh (66 orang), Indonesia (628 orang) dan Nepal (3 orang)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, bagi kes Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM), kata Hakemal, terdapat 26 kes direkodkan dengan tangkapan 10 warga tempatan, Indonesia (24 orang) serta tiga Bangladesh.

"Penyeludupan migran ini membabitkan peranan individu sebagai tekong darat, tekong laut serta ejen.

"Kesan kebanjiran PATI boleh menyebabkan impak sosial, ekonomi, keselamatan, kesihatan serta politik. Saya seru kepada masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan sebarang kegiatan jenayah," ujarnya.

Antara akta terlibat ialah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Imigresen 1959/63, Akta Bahan Letupan 1957, Akta Barang Lusuh 1946, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Akta Senjata 1960 serta Akta Lembaga Minyak Sawit 1998.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!