Belanjawan 2026: Peruntukan RM1.26 bilion hadapi negara tua menjelang 2043

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.26 bilion bagi pelbagai inisiatif kebajikan untuk 180,000 warga emas termasuk wang saku, bantuan sosioekonomi dan pembangunan pusat aktiviti khusus, sebagai langkah awal menghadapi status negara tua menjelang 2043.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persediaan tersebut penting bagi menjamin kesejahteraan hidup warga emas, selain memperkukuh ekonomi penjagaan dan solidariti sosial negara.
“Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045 akan digubal sebagai panduan strategik menyeluruh dan dijadual dilancarkan semasa Persidangan New Frontiers on Care peringkat ASEAN pada November ini,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Jumaat.
Anwar turut memaklumkan bahawa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan memberi fokus kepada pembangunan ekosistem perkhidmatan penjagaan yang mampan, berkualiti, mudah diakses dan mampu bayar.
Bagi memperkasa sektor penjagaan sebagai satu bidang profesional, kerajaan akan membangunkan piawaian nasional sektor penjagaan yang akan menjadi asas kepada pengiktirafan formal terhadap kerjaya tersebut.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menawarkan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk pekerja jagaan dengan peruntukan RM5 juta,” jelas beliau.
Dalam usaha menyediakan kemudahan jangka panjang, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah memulakan projek perintis rumah warga emas mandiri di atas tanah Baitulmal di Kepala Batas, Pulau Pinang, melalui kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
“KWAP juga sedang menilai potensi projek serupa di lokasi lain bagi memanfaatkan lebih ramai warga emas berpendapatan rendah,” kata Anwar.
Selain itu, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan insentif potongan cukai dua kali kepada syarikat yang menaja latihan pekerja jagaan yang diiktiraf oleh KPWKM, selari dengan pendekatan sama yang sebelum ini diberikan kepada penajaan latihan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Ringkasan AI
- Kerajaan mengumumkan peruntukan RM1.26 bilion untuk inisiatif kebajikan warga emas
- Kesejahteraan hidup warga emas dan ekonomi penjagaan akan diperkukuh melalui Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045
- Pembangunan ekosistem perkhidmatan penjagaan yang mampan adalah fokus Rancangan Malaysia Ke-13
- Piawaian nasional sektor penjagaan akan dibangunkan untuk mengiktiraf kerjaya penjagaan
- KWAP memulakan projek perintis rumah warga emas mandiri di Kepala Batas, Pulau Pinang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
