Polis lupus barang rampasan RM1.4 juta

Mohd Zaini (menaiki jentolak) melakukan gimik pelupusan barangan rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Selasa. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
Mohd Zaini (menaiki jentolak) melakukan gimik pelupusan barangan rampasan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Selasa. Foto: HISYAMUDDIN AYUB.
A
A
A

SUBANG JAYA – Sejumlah barangan rampasan membabitkan kes jenayah dan aktiviti kontraban bernilai RM1.4 juta telah dilupuskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar berkata, barangan yang dilupuskan melibatkan kes di bawah Op Dadu (perjudian), Op Pusat Hiburan, Op Elektrik (bitcoin) serta pelbagai barangan kontraban seperti rokok dan minuman keras.

Beliau berkata, pelupusan itu melibatkan 525 kertas siasatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan 110 kertas siasatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) IPD Subang Jaya.

“Kesemua barangan kes ini telah melalui proses pendakwaan dan tertuduh telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Pelupusan melibatkan Bahagian JSJ bermula dari tahun 2015 hingga 2024, manakala Bahagian JSJK merangkumi tempoh antara tahun 2004 hingga 2022.

“Nilai keseluruhan pelupusan barangan kes ini dianggarkan berjumlah RM1.4 juta,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Subang Jaya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan dan Majistret Mahkamah Shah Alam, Mohamad Redza Azhar Rezali.

Menurut Mohd Fairus, sebanyak 548 unit komputer dan telefon bimbit yang dirampas dalam Op Dadu turut dilupuskan.

Selain itu, barangan rampasan daripada Op Pusat Hiburan dan kes kontraban seperti arak dan rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM362,911.

Artikel Berkaitan:

Pelupusan turut melibatkan 650 tin minuman keras, 502 botol arak, dan 293 karton rokok pelbagai jenama.

“Bagi pelupusan barangan rampasan berkaitan aktiviti bitcoin, nilainya dianggarkan mencecah RM286,200,” katanya lagi.

Jelas beliau, semua barangan kes tersebut akan dilupuskan secara selamat melalui kaedah e-waste, jualan sisa besi dan bahan pepejal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!