X

Kindly register in order to view this article
!

9 ADUN Selangor tak dapat dana

A
A

SHAH ALAM - Seramai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor tidak diberikan peruntukan di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diwujudkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menangani kesan wabak Covid-19.

Menerusi satu surat dan senarai yang dilihat oleh Sinar Harian, kerajaan Selangor memutuskan peluasan penggunaan secara sementara bagi setiap program atau aktiviti mesra rakyat ditingkatkan daripada RM20,000 kepada RM30,000.

Bagaimanapun, peruntukan itu disalurkan secara terus kepada akaun Pusat Khidmat Masyarakat semua ADUN kecuali sembilan ADUN berkenaan.

Mereka yang dikecualikan terdiri daripada ADUN Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini merupakan ADUN Bebas, Rizam Ismail (Sungai Air Tawar-BN), Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang-BN), Datuk Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong-BN) dan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN),

Turut tersenarai, Zakaria Hanafi (Semenyih-BN), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang-Pas), Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang-Bersatu) dan Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia-Bebas).

Dalam pada itu, Rizam berkata, kerajaan Selangor dilihat mengamalkan sikap double standard dalam pemberian bantuan berkenaan.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor sepatutnya mengetepikan fahaman politik dalam pemberian bantuan khas tersebut demi kepentingan rakyat.

“Apa yang menjadi persoalan ialah ketika pembukaan Sidang DUN Selangor baru-baru ini, blok pembangkang mempunyai 13 kerusi.

“Bagaimanapun, empat ADUN Bersatu dari Batang Kali, Jeram, Kuang dan Dengkil menerima bantuan khas itu walaupun mereka pembangkang.

“Jadi kami tertanya-tanya, adakah kami perlu bodek kerajaan negeri dulu baru boleh dapat bantuan itu?” soalnya.

Katanya, kerajaan negeri perlu mencontohi kerajaan Pusat yang tidak memilih bulu dalam pemberian sumbangan ke setiap negeri seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 17 Mac lalu, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) kesal kerana menteri besar dan ketua menteri dari lima negeri tidak dijemput ke mesyuarat khas bersama Perdana Menteri bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan.

Majlis Setiausaha PH turut menggesa Putrajaya segera memanggil pertemuan bersama menteri besar dan ketua menteri ini demi keselamatan penduduk negeri tersebut.