Covid-19: Raja Salman arah perintah berkurung separa

Raja Salman Abdulaziz
Raja Salman Abdulaziz
A
A
A

RIYADH - Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz mengeluarkan perintah berkurung dari jam 7 petang (waktu tempatan) hingga 6 pagi selama 21 hari bermula hari ini untuk mengehadkan penyebaran koronavirus (Covid-19).

Menurut laporan Saudi Press Agency, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menggesa pihak berkuasa sivil dan ketenteraan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi melaksanakan langkah itu.

Pekerja yang dikecualikan daripada perintah berkurung termasuk mereka yang bekerja di bahagian penting sektor awam dan swasta dan memerlukan komitmen berterusan sepanjang tempoh pencegahan.

Pengecualian juga melibatkan pekerja dalam sektor keselamatan, ketenteraan, media dan sektor perkhidmatan serta kesihatan berkaitan.

Bagi muazin, mereka dibenarkan masuk ke masjid untuk melaungkan azan ketika perintah berkurung dilaksanakan.

Selain itu, kakitangan dalam misi diplomatik, organisasi antarabangsa dan penduduk di kuarters diplomatik dibenarkan bergerak ketika perintah berkurung dari dan ke tempat kerja mereka.

Kementerian turut menggesa rakyat Saudi untuk duduk di rumah terutamanya semasa perintah berkurung dan tidak keluar kecuali dalam hal penting. - Agensi

Artikel Berkaitan: