Umpan pumpun bawa tuah, Orang Asli menang RM20,000

SEPANG – Siapa sangka umpan pumpun membawa tuah besar seorang lelaki Orang Asli apabila berjaya muncul juara dalam Visit Selangor Surfcasting Challenge yang berlangsung di Pantai Bagan Lalang di sini pada Ahad.
Sabri Sekin, 35, dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek yang bekerja sendiri berjaya menaikkan ikan sembilang seberat 0.770 kilogram (kg) dan menewaskan ratusan pemancing lain sekali gus membawa pulang wang tunai RM20,000.
Sabri yang datang bersama isterinya, Indah Abdullah, 34, seorang suri rumah, tidak menyangka percubaannya kali ini akan membuahkan hasil.
“Saya memang gemar memancing tapi ini kali pertama menang besar macam ni. Saya sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Visit Selangor Surfcasting Challenge di Pantai Bagan Lalang di sini pada Ahad.
Turut hadir, Ahli Majlis MPS Zon Sepang Putra, Vijayarany Arumugam; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Bagan Lalang, Samsul Idham Mustafa Kamal; Pengurus Perhubungan Awam Sepang Goldcoast Sdn Bhd, Nurlie Abdul Manap dan Mashitah Ismail, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.
Bapa kepada seorang anak lelaki berusia 14 tahun itu berkata, wang kemenangan tersebut akan digunakan untuk memenuhi keperluan keluarganya.
Naib juara disandang oleh Mohd Abdul Imamin, 30, yang berjaya menaikkan ikan malong seberat 0.645kg dan membawa pulang RM3,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhd Ikmal Ali, 31, yang memenangi RM1,000 menerusi tangkapan ikan sembilang seberat 0.605kg
Pertandingan anjuran bersama Wak Jali Management dan Kelab Pemancing Surfcast Profesional Bersatu Malaysia (Mupsac) itu turut mendapat sokongan Sepang Goldcoast Sdn Bhd serta Majlis Perbandaran Sepang (MPS).

Mashitah berkata, penganjuran program seperti Visit Selangor Surfcasting Challenge selaras dengan inisiatif Singgah Sepang Dulu (SSD) yang diperkenalkan oleh Aiman Athirah sebagai strategi pelancongan komuniti untuk menjenamakan Sepang sebagai destinasi pelancongan yang lengkap dan berdaya saing.
“Seperti yang sering ditekankan oleh Datuk Aiman Athirah, kita tidak mahu pelancong terus ke Genting atau destinasi lain tanpa berhenti, sebaliknya kita mahu mereka singgah dahulu di Sepang. Inilah semangat SSD... pelancongan milik rakyat, bukan milik syarikat besar semata-mata,” katanya.
Menurutnya, inisiatif itu digerakkan oleh komuniti tempatan seperti peniaga kecil, pengusaha inap desa, belia dan wanita bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh.
SSD juga menyokong aspirasi ASEAN Tourism Strategic Plan 2025, Visit Selangor 2025 dan Visit Malaysia 2026 dengan menampilkan pelbagai produk pelancongan komuniti di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pantai Bagan Lalang, agro dan ekopelancongan serta industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai daya tarikan utama.
Sementara itu, Vijayarany berkata, Sepang sememangnya memiliki banyak resort menarik serta suasana pantai yang tenang dan mendamaikan, justeru aktiviti seperti ini wajar diteruskan bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah itu.
Bagi Nurlie pula, penganjuran Visit Selangor Surfcasting Challenge bukan sekadar pertandingan memancing, tetapi turut memberi impak positif terhadap ekonomi setempat melalui kehadiran peserta dan pelancong.
“Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan komuniti, tetapi turut membantu peniaga kecil dan usahawan tempatan di sekitar Bagan Lalang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
