Dua lelaki didenda RM20,000 kerana lindungi PATI

TANAH MERAH - Dua lelaki tempatan didenda keseluruhan RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini pada Isnin selepas didapati bersalah kerana membenarkan warga asing tanpa dokumen tinggal di premis masing-masing.
Pendakwaan terhadap mereka dikendalikan Unit Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, tertuduh pertama didapati bersalah di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan seorang lelaki warga Pakistan masuk dan tinggal di premisnya.
“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, tertuduh kedua pula melakukan kesalahan sama apabila membenarkan tiga lelaki warga Bangladesh tinggal di premis miliknya dan dikenakan denda RM15,000 atau penjara 12 bulan.
“Kedua-dua tertuduh membayar denda yang dikenakan,” katanya.
Beliau memberitahu, semasa operasi di premis milik kedua-dua tertuduh, kesemua warga Pakistan dan Bangladesh yang berada di situ turut ditahan kerana melanggar Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas.
Selain itu ujarnya, lapan warga Myanmar iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita turut dijatuhi hukuman penjara lima bulan dari tarikh tangkap selepas disabit kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Turut dikenakan hukuman penjara lima bulan ialah dua lelaki warga Bangladesh atas kesalahan serupa,” katanya.
Tambahnya, 16 lagi warga Bangladesh yang dituduh di bawah Seksyen 15(1)(c) menerima hukuman berbeza; dua lelaki didenda RM10,000 atau penjara lima bulan, manakala 14 lagi dijatuhi penjara enam bulan dari tarikh tangkap.
Mohamed Yusoff Khan menegaskan, JIM Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang kehadiran dan aktiviti PATI di negeri ini.
“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau memudahcara kegiatan PATI.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mereka yang bersubahat,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua lelaki tempatan didenda keseluruhan RM20,000 kerana membenarkan warga asing tinggal di premis mereka tanpa dokumen
- Tertuduh pertama dikenakan denda RM5,000, sementara tertuduh kedua dikenakan denda RM15,000
- Operasi Jabatan Imigresen Malaysia menahan warga Pakistan, Bangladesh, dan Myanmar yang tinggal tanpa pas sah
- Lapan warga Myanmar dan dua warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara lima bulan
- JIM Kelantan akan mempergiat operasi penguatkuasaan untuk mengekang aktiviti PATI di negeri tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

