Sistem MLFF di lebuh raya tidak boleh dimonopoli

Rakyat Malaysia tidak seharusnya terperangkap dalam satu ekosistem pembayaran atau dipaksa bergantung kepada satu penyedia sahaja.
Rakyat Malaysia tidak seharusnya terperangkap dalam satu ekosistem pembayaran atau dipaksa bergantung kepada satu penyedia sahaja.
A
A
A

LEBUH RAYA Malaysia kini berada di ambang transformasi besar. Cara kita membayar tol, yang dahulunya sinonim dengan barisan panjang dan berpalang, kini sedang berubah.

Bayangkan bila sampai plaza tol, kita tak perlu lagi berhenti atau memperlahankan kenderaan.

Kenderaan yang dipandu boleh terus meluncur lancar tanpa halangan.

Namun ketika teknologi seperti pengenalan fungsi radio (RFID) dan sistem pengecaman nombor pendaftaran (ANPR) semakin pesat berkembang, satu hakikat mesti diingat - kemajuan tidak bermakna jika ada rakyat yang tertinggal di belakang.

Ujian sebenar inovasi bukan terletak pada mesin tetapi sejauh mana ia berkhidmat dengan adil dan inklusif kepada setiap pengguna jalan raya di negara ini.

Visi kutipan tol tanpa halangan

Di tengah perubahan ini ialah konsep Multi-Lane Free Flow (MLFF) — visi kutipan tol tanpa halangan sepenuhnya.

Dalam sistem ini, kenderaan melalui kawasan tol pada kelajuan lebuh raya, manakala sensor dan kamera secara automatik mengesan serta mengenakan caj.

Kerajaan telah membenarkan setiap konsesi lebuh raya memilih rakan teknologi mereka sendiri, sama ada menggunakan RFID, ANPR atau gabungan kedua-duanya, sebagai jalan ke arah mencapai matlamat MLFF.

Artikel Berkaitan:

Buat masa ini, Malaysia masih berada di fasa percubaan. Palang dan gantri yang masih kelihatan hanyalah langkah sementara sebelum sistem akhir diperkenalkan.

Touch ’n Go bersama Star Systems International sedang menjalankan ujian sistem MLFF berasaskan RFID di Lebuhraya Kemuning–Shah Alam, manakala PLUS Malaysia akan melancarkan percubaan sistem tol terbuka berasaskan ANPR pada Oktober 2025, meliputi laluan Hutan Kampung–Sungai Dua di Kedah dan Pulau Pinang melalui aplikasi JustGo.

Projek perintis PLUS ini merangkumi sembilan plaza tol dengan 78 lorong — pada asasnya melibatkan setiap lorong sepanjang jajaran 80 kilometer.

Ini menjadikannya ujian berskala besar dalam keadaan trafik sebenar, menguji keupayaan sistem menangani aliran kenderaan yang tinggi.

Sebaliknya, ujian bukti konsep Touch ’n Go dijalankan dalam persekitaran yang lebih terkawal, dengan corak trafik dan jumlah kenderaan yang berbeza ketara.

Perbezaan ini penting kerana keadaan sebenar di jalan raya jarang seideal lokasi ujian.

Di bawah model ini, Kementerian Kerja Raya menjelaskan bahawa pihak konsesi akan memimpin pelaksanaan sistem tersebut dengan menanggung tanggungjawab kewangan sepenuhnya melalui kerjasama terus dengan penyedia teknologi masing-masing.

Inklusiviti: Jalan raya untuk semua

Walaupun janji sistem tol tanpa henti amat menarik, kita harus sedar bahawa tidak semua rakyat Malaysia bersedia atau mampu beralih sepenuhnya kepada sistem digital.

Hakikatnya, masih ramai pemandu yang bergantung kepada tunai atau mengelak pembayaran digital atas sebab peribadi, teknikal atau kewangan.

Peralihan ke arah masa depan tol tanpa palang ini perlu mengiktiraf kepelbagaian, bukan memaksa keseragaman.

Seperti mana plaza tol hari ini menawarkan pelbagai kaedah pembayaran — daripada kad Touch ’n Go, SmartTAG hingga RFID — sistem MLFF masa depan perlu mengekalkan pendekatan inklusif yang sama.

Matlamatnya ialah sistem yang berfungsi untuk semua, bukan hanya untuk mereka yang selesa dengan satu teknologi atau penyedia tertentu.

Persaingan dan pilihan: Benteng terbaik menentang monopoli

Ada pihak bimbang bahawa membenarkan setiap pengendali lebuh raya memilih rakan teknologi masing-masing boleh membawa kepada kepelbagaian sistem yang tidak seragam. Namun hakikatnya, fleksibiliti ini adalah kekuatan, bukan kelemahan.

Dengan memberi kuasa kepada konsesi untuk bekerjasama dengan penyedia berbeza, kerajaan sebenarnya memupuk inovasi dan persaingan sihat.

Pendekatan ini mengelakkan dominasi satu sistem atau syarikat semata-mata, sekaligus memastikan pasaran kekal dinamik, responsif dan bertanggungjawab kepada pengguna.

Pendekatan “satu sistem untuk semua” hanya akan mewujudkan monopoli atau kronisme, sesuatu yang bertentangan dengan prinsip pentadbiran Madani yang menekankan ketelusan, keadilan dan manfaat awam.

Apabila terdapat persaingan, setiap penyedia akan terdorong untuk memperbaiki mutu perkhidmatan, menurunkan kos dan meningkatkan kecekapan — manfaat yang akhirnya dinikmati oleh pengguna jalan raya.

Rakyat sebagai teras perubahan

Walaupun sistem tol tanpa palang ini adalah tentang kecekapan dan keselesaan, namun manfaat sebenar hanya akan dirasai jika peralihan ini kekal telus, berdaya saing dan berpaksikan rakyat.

Rakyat Malaysia tidak seharusnya terperangkap dalam satu ekosistem pembayaran atau dipaksa bergantung kepada satu penyedia sahaja.

Sebaliknya, mereka berhak mendapat pilihan yang benar-benar terbuka dan saling serasi, di mana pelbagai sistem boleh beroperasi bersama dengan lancar.

Visi MLFF bukan sekadar tentang mempercepatkan perjalanan di lebuh raya.

Sebaliknya, ia harus mencerminkan nilai keadilan, keterangkuman dan inovasi serta memastikan bahawa dalam usaha Malaysia memodenkan sistem tol, tiada sesiapa yang tertinggal di belakang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!