iFUTURE platform lahirkan pemimpin muda digital berjiwa kemanusiaan

KUALA LUMPUR – Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE 2025) menjadi gerakan global ke arah melahirkan generasi pemimpin muda yang memiliki nilai kemanusiaan dalam era dunia digital yang semakin mencabar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana generasi muda tidak boleh menjadi mangsa teknologi sebaliknya mesti memandunya dengan nilai kemanusiaan.
Katanya, menurut laporan antarabangsa, sebanyak 79 peratus belia berumur antara 15 hingga 24 tahun ketika ini menggunakan internet setiap hari sekali gus menjadikan ia sebagai generasi digital sebenar yang pertama.
“Teknologi membuka pintu kepada peluang pekerjaan baharu, pembelajaran tanpa sempadan dan hubungan global tanpa batas tetapi kita juga berdepan cabaran seperti berita palsu, penyalahgunaan data serta kehilangan privasi dan kebenaran.
“Oleh itu, kita tidak boleh menjadi mangsa teknologi, kita mesti memandunya dengan nilai. Gunakan media sosial bukan untuk memecah-belahkan, tetapi untuk menyatukan.
“Bukan untuk menyalakan kebencian, tetapi untuk menyebarkan harapan. Bukan untuk menyesatkan, tetapi untuk menyampaikan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan iFUTURE 2025 dalam majlis yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada malam Sabtu.
iFUTURE 2025 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin.
Bertemakan Empowering Young Leaders for a Digital Future, iFUTURE 2025 memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan pelajar dalam era digital yang menuntut keupayaan adaptif, pemikiran inovatif serta kebolehan berfikir secara kritikal dan strategik.
Selaras dengan aspirasi KPT untuk melahirkan pemimpin pelajar berwawasan global, program itu menjadi platform wacana intelektual, dialog strategik serta sesi libat urus bersama kepimpinan tertinggi negara, tokoh industri dan pemimpin pelajar antarabangsa.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, iFUTURE bukan tentang siapa yang akan memimpin dunia, tetapi bagaimana dunia ini seharusnya dipimpin.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, iFUTURE 2025 yang disertai pelajar dari 50 negara memberi tumpuan kepada lima bidang utama yang memerlukan perhatian, inovasi dan tindakan bersama termasuk dari sudut masa depan kecerdasan buatan (AI) dan kesiapsiagaan belia serta diplomasi belia dan penglibatan global.
“AI bukan lagi masa depan, ia sudah menjadi realiti. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk bukan sekadar menyesuaikan diri, tetapi memimpin dunia yang digerakkan oleh AI?
“Dalam dunia berdepan ketegangan geopolitik pula, anak muda perlu menjadi duta budaya, pendamai dan penghubung antara negara,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

