72 sekolah laksana PdPR sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

PUTRAJAYA - Sebanyak 72 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor diberikan kebenaran untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 27 hingga 28 Oktober ini bersempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Menteri Pendidikan, Datuk Fadhlina Sidek, berkata ketetapan itu dibuat memandangkan sekolah berkenaan berada di laluan yang digunakan untuk membawa delegasi atau pemimpin luar negara bagi menghadiri sidang kemuncak tersebut.
"Pembelajaran akan berlangsung seperti biasa menerusi proses PdPR, yang melibatkan guru dan murid di 72 buah sekolah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli bersama wakil murid di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober ini bakal menghimpunkan pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, India, Australia, Kanada, Brazil, Afrika Selatan, Jepun, Korea serta negara anggota ASEAN.
Mengenai laporan bahawa KPM merekodkan jumlah tertinggi projek kritikal tertangguh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Fadhlina berkata, beliau mengambil maklum mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 itu dan akan memberikan penjelasan di Parlimen esok.
"Kita ambil maklum tentang LKAN tersebut dan esok, saya akan jawab dalam Parlimen berkaitan isu yang dibangkitkan. Jadi, ini adalah respons awal kerana esok adalah ruang untuk setiap negeri menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan tersebut,” katanya.
Media melaporkan KPM merekodkan bilangan tertinggi projek lewat jadual di bawah RMK12 sebanyak 46 projek, menurut LKAN 3/2025.
Laporan itu menyatakan, secara keseluruhan, sebanyak 157 projek kerajaan dikenal pasti lewat jadual setakat 31 Dis 2024, membabitkan 18 kementerian. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 72 sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor melakukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah pada 27 hingga 28 Oktober disebabkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47
- Sekolah-selokah tersebut berada di laluan delegasi atau pemimpin luar yang menghadiri sidang kemuncak
- Pembelajaran akan dilaksanakan seperti biasa melalui proses PdPR yang melibatkan guru dan murid di sekolah-sekolah terbabit
- Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan menghimpunkan pemimpin dunia dari pelbagai negara
- Kementerian Pendidikan Malaysia mencatatkan jumlah tertinggi projek kritikal tertangguh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menurut Laporan Ketua Audit Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
