Lencongan berkala sempena MotoGP, Sidang Kemuncak ASEAN

Azman pada sidang media mengenai taklimat trafik dan keselamatan sempena perlumbaan MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada Isnin. Foto Bernama
Azman pada sidang media mengenai taklimat trafik dan keselamatan sempena perlumbaan MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan beberapa lencongan jalan secara berkala, berikutan pertindihan acara perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia dengan Sidang Kemuncak ASEAN, terutama pada 26 Oktober.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, langkah itu, akan dilaksanakan mengikut masa ketibaan ketua-ketua negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara, bagi menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

"PDRM khususnya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan membuat lencongan bergantung kepada keperluan semasa, pada masa tertentu sahaja, bukan pada sepanjang masa,” katanya kepada pemberita selepas taklimat trafik dan keselamatan sempena perlumbaan MotoGP 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Isnin.

Beliau menasihatkan pengunjung MotoGP supaya mematuhi arahan anggota trafik yang ditempatkan di semua persimpangan dan laluan utama, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti kereta api atau bas khas yang disediakan bagi mengelakkan kesesakan.

Azman berkata, sebanyak 450 anggota polis, akan ditugaskan sepanjang acara berlangsung bagi memastikan kelancaran trafik, ketenteraman awam dan pencegahan jenayah, termasuk membuat rondaan bersama pihak keselamatan SIC untuk membantu menjaga keselamatan ramai.

Mengenai laluan alternatif, beliau berkata, antara jalan yang boleh digunakan sekiranya berlaku penutupan sementara ialah Plaza Tol Bandar Serenia, Plaza Tol Nilai dan Plaza Tol Bandar Ainsdale untuk ke SIC.

MotoGP 2025 dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober, manakala Sidang Kemuncak ASEAN akan diadakan dari 26 hingga 28 Oktober. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • PDRM akan melaksanakan lencongan jalan berkala akibat pertindihan acara MotoGP Malaysia dengan Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 Oktober
  • Lencongan bergantung kepada masa ketibaan ketua-ketua negara ke ibu negara dari KLIA
  • Pengunjung MotoGP disarankan patuhi arahan anggota trafik dan gunakan pengangkutan awam untuk elak kesesakan
  • Sebanyak 450 anggota polis akan ditugaskan sepanjang acara untuk memastikan kelancaran trafik dan keselamatan
  • Laluan alternatif termasuk Plaza Tol Bandar Serenia, Plaza Tol Nilai, dan Plaza Tol Bandar Ainsdale ke SIC

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!