Rayer desak tindakan segera insiden kibar bendera Israel

GEORGE TOWN - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa pihak berkuasa agar segera mengambil tindakan terhadap insiden pengibaran bendera Israel dalam satu program solidariti untuk Gaza yang diadakan di Kelantan, Jumaat lalu.
Menurutnya, tindakan mengibarkan bendera rejim Zionis itu amat tidak wajar dan menimbulkan tanda tanya bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku di negeri Kelantan.
"Pembangkang dilihat berdiam diri dalam isu ini. Di mana Pas? Di mana Bersatu? Mengapa tiada sebarang kenyataan dikeluarkan? Adakah kerana kejadian itu berlaku di Kelantan?" katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Rayer turut mempersoalkan mengapa masih tiada tindakan diambil terhadap individu yang terlibat sehingga kini.
Beliau berkata, pihak berkuasa tidak boleh mengamalkan 'double standard' dalam menangani isu sensitif seperti ini.
"Bayangkan jika perkara yang sama berlaku di Pulau Pinang, sudah tentu pelbagai pihak akan lantang bersuara.
"Oleh itu, saya mendesak agar tindakan segera diambil. Tiada alasan, tiada pilih kasih," tegasnya.
Sebelum ini, Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza anjuran bersama Komuniti Floating Market Sri Tanjung mendapat kecaman serta pelbagai pandangan orang ramai di media sosial apabila menampilkan sebuah bot yang mengibarkan bendera Israel.
Bagaimanapun pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan menjelaskan situasi itu hanyalah sebahagian daripada gimik dan simulasi untuk menggambarkan semula insiden melibatkan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), dan tidak mempunyai niat lain serta tidak bertujuan menyinggung mana-mana pihak.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendesak tindakan terhadap pengibaran bendera Israel dalam program solidariti untuk Gaza di Kelantan
- Tindakan tersebut dianggap tidak wajar dan menimbulkan persoalan
- Rayer mempersoalkan kebisuan pembangkang dan ketiadaan tindakan terhadap individu yang terlibat
- Beliau menegaskan pihak berkuasa tidak boleh mengamalkan 'double standard' dalam menangani isu ini
- Program tersebut mendapat kecaman, tetapi penganjurnya menjelaskan ia sebagai gimik dan simulasi tanpa niat menyinggung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
