Laungan 'hidup, hidup Palestin, hancur, hancur Israel' bergema di Sungai Kelantan

Rakyat yang berkumpul dan menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
Rakyat yang berkumpul dan menyatakan solidariti terhadap Palestin. Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Laungan “Hidup, hidup Palestin, hancur, hancur Israel” bergema megah di Sungai Kelantan apabila hampir 20,000 peserta menyertai Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza pada Jumaat.

Program anjuran Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia dengan kerjasama Komuniti Floating Market Sri Tanjung itu berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk nelayan, pemilik bot laju, aktivis, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pondok, pempengaruh dan orang awam.

Antara peserta, Amirah Hanah Shamel Johaidee, 30, ibu kepada tiga anak dari Kota Bharu berkata, penyertaannya adalah tanda sokongan terhadap rakyat Palestin serta didikan kepada anak-anak agar memahami erti perjuangan dan rasa syukur.

“Walaupun jauh beribu batu dari Gaza, kami mahu tunjuk kami bersama mereka dan sama-sama menangisi penderitaan mereka.

“Kalau kita senyap, dunia anggap kita tidak peduli,” katanya yang menyertai program solidariti itu buat pertama kali selepas mengetahui mengenainya melalui WhatsApp.

Sepanjang pelayaran sejauh tujuh kilometer dari Pulau Pisang ke Lembah Sireh, peserta mengibarkan bendera Palestin, mengalunkan selawat dan membaca Qunut Nazilah sebagai simbol keprihatinan dan doa untuk saudara seagama di Gaza.

Mohammad Shukrie Mamat, 34, seorang pengusaha bot laut dalam dari Tumpat berkata, dia menaja sebuah bot membawa 40 penumpang termasuk wakil NGO dan penaja, sebagai usaha menyertai pelayaran tersebut.

Sebahagian bot-bot yang menyertai Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza berarak dari Pulau Pisang ke Lembah Sireh pada Jumaat - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID
Sebahagian bot-bot yang menyertai Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza berarak dari Pulau Pisang ke Lembah Sireh pada Jumaat - Foto: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

Artikel Berkaitan:

“Kami mahu tunjuk bahawa masyarakat Malaysia cakna dengan penindasan di Palestin.

“Harap suara kecil kami ini dapat didengar dunia,” ujarnya.

Pengarah Program, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, acara kali ini adalah yang terbesar pernah dianjurkan, melibatkan 780 bot sukarelawan dari tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Tujuan utama kami adalah menzahirkan sokongan kepada umat Islam di Palestin dan mengajak masyarakat antarabangsa agar tidak berdiam diri terhadap kekejaman Zionis Israel.

“Kami mahu dunia tahu, rakyat Malaysia tidak pernah meminggirkan isu Palestin,” katanya.

Turut mencuri tumpuan ialah penyertaan 11 ahli Persatuan Orang Pekak Kelantan yang sama-sama menaiki bot sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin.

Mohd Khairul Hafiz berkata, pihaknya akan terus memperluaskan inisiatif seumpama itu ke seluruh negara agar rakyat tidak lupa akan penderitaan di Palestin.

“Kita tidak mampu berperang atau memberi bantuan besar, tetapi sekurang-kurangnya kita bersuara dan menunjukkan solidariti semampu mungkin.

“Ini bukti kita tidak berdiam diri terhadap kezaliman Zionis,” katanya.

Sebagai simbolik, turut diadakan simulasi kekejaman rejim Israel ke atas rakyat Palestin dan penahanan tentera Zionis terhadap bot-bot misi bantuan Global Sumud Flotilla, yang menyentuh hati ramai peserta.

 

 

Ringkasan AI

  • Laungan "Hidup, hidup Palestin, hancur, hancur Israel" bergema di Sungai Kelantan dalam Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza dengan penyertaan hampir 20,000 orang
  • Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia dan Komuniti Floating Market Sri Tanjung, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk nelayan dan aktivis
  • Peserta mengibarkan bendera Palestin dan mengalunkan selawat sepanjang pelayaran tujuh kilometer dari Pulau Pisang ke Lembah Sireh sebagai simbol doa dan keprihatinan untuk Gaza
  • Acara tersebut dianggap yang terbesar dengan penglibatan 780 bot sukarelawan dari tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang
  • Tujuan utama adalah menzahirkan sokongan kepada umat Islam di Palestin dan mengajak masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri terhadap kekejaman Zionis Israel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!