Kes lori rempuh plaza tol : KDEBWM umum empat langkah penambahbaikan

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) menetapkan empat langkah penambahbaikan drastik dan proaktif susulan insiden lori sampah yang merempuh Plaza Tol Puchong Selatan di KM30.3 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) pada Jumaat.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, antara langkah akan dijalankan termasuklah meneliti semula semua prosedur dalaman bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempercepatkan proses pertukaran hak milik.
Menurutnya, semua kontraktor yang telah tamat pembayaran sewaan kenderaan kepada KDEBWM diwajibkan membuat pindahan hak milik dengan segera selaras dengan terma dan syarat perjanjian.
"KDEBWM turut memastikan semua kontraktor lantikan mematuhi syarat ditetapkan JPJ dan APAD terutama memastikan pemandu memiliki Lesen GDL Lesen Kenderaan Barangan (GDL) untuk memandu lori kompaktor dan armroll/RORO.
"Syarikat turut menekankan semua kontraktor latihan mematuhi peraturan jalan raya termasuk menyelesaikan saman yang dikenakan dengan segera bagi mengelakkan gangguan kepada kelancaran operasi harian KDEBWM," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau memberitahu, KDEBWM akan terus memberikan latihan dan bimbingan bersepadu kepada para pemandu dengan kerjasama pihak berkuasa bagi membangunkan pemandu yang kompeten mengendalikan lori sampah dalam operasi harian.
Dalam pada itu, Ramli berkata, KDEBWM mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden kemalangan itu dan sedang membuat tindakan yang sewajarnya serta siasatan menyeluruh ke atas kejadian berkenaan.
Beliau turut menjelaskan, lori sampah itu dikendalikan sebuah syarikat dilantik KDEBWM untuk melaksanakan kerja kutipan sisa pepejal di Kajang, namun perkhidmatan syarikat terbabit telah ditamatkan pada 18 Jun lepas.
"Bagaimanapun, syarikat tersebut belum selesai dalam urusan pindah milik dan permit kenderaan dan sedang dalam proses menyiapkan urusan pindah milik kenderaan.
"Oleh itu, rekod pemilikan lori sampah tersebut masih berdaftar atas nama KDEBWM," menurut beliau lagi.
Ramli memberitahu, sepanjang tempoh perkhidmatan, pihak KDEBWM telah sehabis baik melaksanakan pemantauan sepenuhnya dan tindakan tegas terhadap semua syarikat kontraktor lantikan dan lori-lori kompaktor yang melanggar terma dan syarat perjanjian.
Tambah beliau, KDEBWM memandang serius kejadian yang melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan menzahirkan rasa kesal serta sedih terhadap insiden berkenaan.
Justeru, kata Ramli, syarikat terbabit juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- KDEB Waste Management mengambil langkah penambahbaikan susulan insiden lori sampah merempuh Plaza Tol Puchong Selatan
- Meneliti prosedur pertukaran hak milik kenderaan dengan kerjasama JPJ dan APAD
- Kontraktor yang tamat sewaan wajib segera pindah hak milik kenderaan
- Memastikan semua kontraktor patuhi syarat JPJ dan APAD termasuk lesen memandu yang sah
- KDEBWM memberi latihan dan bimbingan kepada pemandu dan mengambil tanggungjawab penuh atas insiden tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

