Bekas banduan salah hukum tuntut pampasan RM16.7 juta

SHIZUOKA – Seorang lelaki Jepun yang dibebaskan tahun lalu selepas perbicaraan semula kes pembunuhan empat sekeluarga pada tahun 1966 memfailkan saman menuntut pampasan kira-kira 600 juta yen (RM16.7 juta) daripada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Menerusi laporan Japan Today, peguamnya berkata, jumlah tuntutan oleh Iwao Hakamata, 89, yang pernah menghabiskan hampir separuh abad di penjara bawah hukuman mati merupakan terbesar dalam sejarah kes pampasan kerajaan melibatkan sabitan salah yang akhirnya dibatalkan selepas perbicaraan semula.
Saman tersebut difailkan di Mahkamah Daerah Shizuoka bagi meneliti bagaimana sabitan salah itu boleh berlaku dan untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab terhadap kesilapan berkenaan.
Hakamata tidak dijadualkan membuat sebarang kenyataan sepanjang perbicaraan kerana mengalami sindrom selepas pemenjaraan (post-incarceration syndrome) yang menyebabkan beliau sukar berkomunikasi.
Kakaknya, Hideko, 92, yang hadir mewakili Hakamata dalam perbicaraan semula menyampaikan mesej video pada Khamis lalu dengan menegaskan bahawa jalan mesti dibuka bagi mereka yang berjuang menentang sabitan tidak adil.
Dalam keputusan yang diumumkan pada 26 September tahun lalu, mahkamah mendapati pihak penyiasat memalsukan bukti, termasuk lima helai pakaian yang dikatakan dipakai Hakamata ketika kejadian.
Keputusan itu dimuktamadkan pada 9 Oktober tahun yang sama.
Hakamata, bekas peninju profesional, bekerja sebagai pekerja di sebuah kilang pes miso ketika ditahan pada tahun 1966 selepas didakwa membunuh pengarah kanan syarikat tersebut, isterinya serta dua anak mereka.
Semua mangsa ditemui mati akibat tikaman di rumah mereka di Wilayah Shizuoka yang turut dibakar.
Hakamata kemudiannya disabitkan kesalahan membunuh, merompak dan membakar dengan hukuman mati yang dimuktamadkan pada tahun 1980.
Dalam tuntutan pampasan itu, peguamnya berhujah bahawa berlaku siasatan tidak sah, penyembunyian bukti serta keputusan mahkamah yang salah selain pemalsuan bukti utama.
Jumlah tuntutan itu turut mengambil kira pendapatan yang sepatutnya diperoleh Hakamata sepanjang tempoh pemenjaraan serta tekanan emosi akibat hidup dalam ketakutan hukuman mati selama bertahun-tahun.
Ia juga meliputi penderitaan selepas dibebaskan pada tahun 2014 akibat sindrom yang dialaminya.
Bagaimanapun, peguamnya memaklumkan jumlah tuntutan dikurangkan selepas menolak 217 juta yen (lebih RM6.06 juta) pampasan jenayah yang telah diterima Hakamata daripada kerajaan Jepun pada April lalu.
Pada bulan lepas, Hakamata turut memfailkan saman berasingan terhadap kerajaan, menuntut 5.5 juta yen (lebih RM153,000) sebagai ganti rugi fitnah berhubung kenyataan Peguam Negara Naomi Unemoto yang menyifatkan keputusan pembebasannya sebagai tidak boleh diterima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

