Wajah kekal muda, lelaki Jepun amal gaya hidup ekstrem

TOKYO – Demi kekal kelihatan muda dan bertenaga, semakin ramai lelaki di Jepun sanggup menjalani gaya hidup yang sangat ketat termasuk rutin kecantikan harian, diet ekstrem serta senaman dan penjagaan kesihatan yang teliti.
Fenomena itu mendapat perhatian media tempatan selepas seorang lelaki dikenali sebagai Aki, 33, mendedahkan bagaimana beliau berjaya mengekalkan kulit dan penampilan seperti 10 tahun lalu, hasil disiplin yang ketat sejak lebih sedekad lalu.
Menurut Aki, segalanya bermula apabila bosnya memberi komen pedih mengenai rambutnya yang semakin menipis, membuatkan dia kelihatan lebih tua daripada usia.
Ketika itu juga, Aki baru putus cinta, menyebabkan dia nekad mengubah penampilannya.
Sejak itu, dia tidak lagi keluar lewat malam, berhenti merokok, memakai pelindung matahari setiap hari walau hujan atau panas, kerap bersenam dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Dia juga melabur dalam rawatan kecantikan di salon khas untuk lelaki.
“Orang jadi lebih baik dan menghormati saya selepas saya berubah secara fizikal,” katanya kepada saluran berita ABEMA News.
Aki percaya bahawa penampilan muda memberikan kelebihan dalam kehidupan seharian, termasuk dalam hubungan cinta dan kerjaya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
