Kerajaan Pahang peruntuk RM765,000 sedia makanan petugas keselamatan

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan RM765,800 bagi menampung kos penyediaan makanan kepada petugas dan anggota keselamatan yang terlibat operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini bagi menghargai jasa petugas dan anggota keselamatan yang berkhidmat membantu kerajaan dalam usaha pengawalan wabak Covid-19 ini.

"Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih bagi pihak kerajaan negeri kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membendung pandemik Covid-19 di Pahang.

"Merekalah wira sebenar yang sanggup berkorban berada di barisan hadapan, bertugas siang dan malam tanpa mengenal penat. Kita doakan mereka terus diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi tugas mencabar ini.

"Jadi rakyat Pahang, just 'stay at home' kerana kita ingin memutuskan rantaian virus ini. Jika berjaya kita lakukan, InsyaALLAH tiada lagi kes baharu dan kita boleh tumpu untuk pulihkan pesakit sedia ada," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, syarikat swasta terutamanya yang beroperasi di Pahang dan pihak yang bermurah hati untuk menyumbang kepada Tabung Covid-19 Pahang.

"Sumbangan boleh dibuat melalui pindahan bank atau Automated Teller Machine (ATM) kepada akaun berikut Perbendaharaan Negeri Pahang di akaun Bank.Muamalat: 06010002165711 (Perihal: TABUNGCOVID19PAHANG).

"Selain itu, sumbangan kepada tabung juga boleh dibuat melalui aplikasi digital PahangGo," katanya.

Artikel Berkaitan: