KPM galak pemakaian pelitup muka, pantau rapi kes influenza di sekolah

Fadhlina beramah mesra dengan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram pada Sabtu.
Fadhlina beramah mesra dengan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram pada Sabtu.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan pemakaian pelitup muka di sekolah sebagai langkah berjaga-jaga susulan peningkatan gejala penyakit berjangkit, influenza dalam kalangan murid dan guru di semua negeri.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian telah mengeluarkan peringatan kepada semua jabatan pendidikan negeri, termasuk pengarah dan kepimpinan tertinggi KPM untuk mematuhi garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita sedang memantau sepenuhnya gejala ini dan telah peringatkan kepada semua negeri khususnya pengarah-pengarah dan juga peringkat kepimpinan tertinggi KPM untuk mengambil langkah-langkah yang telahpun ditetapkan di bawah garis panduan kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Projek Penempatan Semula Ladang Byram di sini pada Sabtu.

Menurutnya, garis panduan tersebut dirangka selaras dengan pedoman Kementerian Kesihatan (KKM) yang menekankan aspek kesihatan, keselamatan dan kebersihan di sekolah.

"Selain itu, kita mengambil langkah-langkah termasuk menjaga kesihatan, keselamatan dan kebersihan di sekolah.

"Seterusnya, menggalakkan pemakaian pelitup muka di sekolah," ujarnya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM turut mengambil maklum mengenai beberapa kes jangkitan yang dilaporkan namun menegaskan keadaan masih terkawal.

“Yang dijangkiti itu ada. Setakat ini masih lagi di peringkat terkawal dan kita akan memantau anak-anak kita ini dari semasa ke semasa, termasuk guru-guru juga,” tambah beliau.

Fadhlina berkata lagi, warga sekolah terdiri daripada komuniti besar yang melibatkan murid dan tenaga pengajar, justeru semua pihak perlu berwaspada dan mematuhi langkah pencegahan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Bukan sahaja keselamatan dan kesihatan anak-anak, tetapi juga warga guru kita.

"Kita ambil maklum semua itu dan meminta pentadbir untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta langkah keselamatan bagi mengelak penularan berdasarkan SOP,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan bahawa keputusan menutup sekolah hanya akan dipertimbangkan selepas semua langkah pencegahan dilaksanakan mengikut prosedur.

“Berdasarkan SOP kita, kita akan ikut semua langkah-langkah tersebut dahulu sebelum kita isytihar sama ada tutup (sekolah) atau sebagainya kerana langkah-langkah itu mesti dipatuhi untuk memastikan kita dapat mengawal penularan jangkitan,” katanya.

KKM sebelum ini melaporkan lonjakan mendadak sebanyak 97 kluster influenza direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya.

Menurut KKM, peningkatan ketara itu kebanyakannya berlaku di institusi pendidikan, menjadikan sekolah antara lokasi utama penularan influenza ketika ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 kluster dikesan di sekolah menengah, 26 di sekolah rendah, 15 di tadika dan sembilan di sekolah swasta.

Lima negeri yang mencatat jumlah kluster tertinggi ialah Selangor dengan 43 kluster, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) serta Kedah (5).

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan menggalakkan pemakaian pelitup muka di sekolah sebagai langkah preventif terhadap influenza
  • Garis panduan berkaitan kesihatan dan keselamatan di sekolah selaras dengan pedoman Kementerian Kesihatan
  • Terdapat beberapa kes jangkitan yang dilaporkan namun keadaan masih terkawal
  • Sekolah merupakan komuniti besar yang melibatkan murid dan guru, semua pihak perlu mematuhi langkah pencegahan
  • KKM melaporkan lonjakan kluster influenza terutama di institusi pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!