Sebastien Lecornu dilantik semula sebagai Perdana Menteri Perancis

ISTANBUL - Presiden Perancis Emmanuel Macron pada malam Jumaat melantik semula Sebastien Lecornu sebagai Perdana Menteri baharu negara itu, empat hari selepas beliau meletakkan jawatan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut kenyataan ringkas Istana Elysee, Lecornu diberi tanggungjawab untuk membentuk kerajaan baharu.
Keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan pemimpin pelbagai parti politik.
"Saya menerima - atas dasar tanggungjawab - amanah yang diberikan oleh Presiden untuk melakukan segala yang perlu bagi memastikan Perancis mempunyai belanjawan menjelang akhir tahun ini serta menangani kebimbangan harian rakyat,” tulis Lecornu di platform media sosial X milik Amerika Syarikat (AS).
Beliau menegaskan keperluan untuk menamatkan krisis politik "yang membebankan rakyat Perancis” dan berikrar akan melakukan yang terbaik dalam melaksanakan misinya itu.
"Semua isu yang dibincangkan sepanjang rundingan beberapa hari lalu akan dibawa ke perbahasan Parlimen.
"Ahli Parlimen dan Senator akan diberi tanggungjawab sepenuhnya, dan perbahasan mesti dijalankan secara menyeluruh,” kata Lecornu.
Beliau berkata, pemulihan kewangan awam Perancis kekal sebagai keutamaan, sambil menegaskan bahawa "tiada siapa yang boleh mengelak daripada keperluan ini.”
"Semua cita-cita adalah sah dan berguna, tetapi mereka yang menyertai kerajaan mesti berikrar untuk mengetepikan sebarang cita-cita presiden bagi pilihan raya 2027. Pasukan kerajaan baharu mesti mencerminkan pembaharuan serta kepelbagaian kepakaran,” katanya.
Politik Perancis berada dalam keadaan tidak menentu sejak pilihan raya awal pada pertengahan 2024 yang menghasilkan parlimen tergantung dan peningkatan kerusi bagi parti sayap kanan.
Lecornu dilantik sebagai perdana menteri selepas Francois Bayrou gagal dalam undi percaya di parlimen pada 8 September. - Bernama/Anadolu
Ringkasan AI
- Emmanuel Macron melantik semula Sebastien Lecornu sebagai Perdana Menteri Perancis
- Lecornu diberi tanggungjawab membentuk kerajaan baru
- Keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan pemimpin pelbagai parti politik
- Lecornu berjanji untuk menamatkan krisis politik dan mengutamakan pemulihan kewangan awam Perancis
- Politik Perancis dalam keadaan tidak menentu sejak pilihan raya yang menghasilkan parlimen tergantung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
