Bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN

Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika hadir merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu dan Malam Puisi Mengukir Bangsa Ke-4 di sebuah hotel pada Sabtu.
Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika hadir merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu dan Malam Puisi Mengukir Bangsa Ke-4 di sebuah hotel pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN bagi mengembalikan peranannya sebagai bahasa penyatu serantau dan lambang identiti bersama lebih 300 juta penduduk di Asia Tenggara.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, beliau mencadangkan penubuhan kumpulan bertindak tertinggi ASEAN yang dianggotai pakar bahasa, diplomat dan ahli akademik untuk meneliti dasar linguistik rantau ini serta merangka pelan hala tuju jangka panjang bagi memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, langkah strategik itu penting untuk menyelaras usaha antara negara anggota dan memastikan bahasa yang menjadi warisan bersama ini dapat diangkat secara menyeluruh dalam pentadbiran, pendidikan serta diplomasi ASEAN.

“Selain kumpulan bertindak ini, saya juga mencadangkan agar kerjasama Malaysia–Indonesia–Brunei diperkukuh bagi menyeragamkan istilah teknikal serta memperluas penggunaan Bahasa Melayu dalam teknologi digital dan bahan pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu dan Malam Puisi Mengukir Bangsa Ke-4 di sebuah hotel pada Sabtu.

Beliau menambah, cadangan ketiga ialah pelancaran ‘Bulan Bahasa Melayu ASEAN’ setiap tahun pada Ogos sempena ulang tahun penubuhan ASEAN bagi memperkukuh aktiviti kebudayaan, pendidikan dan diplomasi bahasa di seluruh rantau ini.

“Saya berharap tiga cadangan ini dapat dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur minggu depan sebagai langkah besar ke arah pengiktirafan rasmi Bahasa Melayu di peringkat ASEAN,” katanya.

Ismail Sabri berkata, perjuangan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN perlu digerakkan bersama kerana akar bahasanya telah lama menjadi penyatu rantau ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Bahasa Melayu terbukti fleksibel dan kosmopolitan. Ia menyerap pengaruh Arab, Parsi dan Eropah tanpa kehilangan identiti, menjadikannya bahasa yang terus hidup dan berkembang,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Bahasa Melayu dan variasinya di Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand serta selatan Filipina semuanya berasal daripada akar yang sama, meskipun berkembang dengan dialek dan konteks sejarah berbeza.

Artikel Berkaitan:

“Perbezaan nama dan sebutan bukan alasan untuk berpecah. Sama seperti Bahasa Inggeris yang digunakan di Britain, Amerika Syarikat dan Australia, semuanya masih berpaksikan akar yang sama,” katanya.

Ismail Sabri turut berkongsi bahawa ketika beliau menerajui kerajaan, Malaysia telah mengemukakan cadangan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo, untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, dan cadangan itu mendapat maklum balas positif daripada Jakarta.

“Presiden Jokowi bersetuju dan menyatakan tiada halangan. Beliau juga mengakui bahawa bahasa ini milik bersama rakyat serantau,” katanya.

Dalam sidang media selepas majlis, Ismail Sabri memuji komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang konsisten memperjuangkan Bahasa Melayu di pentas antarabangsa, termasuk menegur sekolah antarabangsa yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam sistem pengajaran.

“Perdana Menteri sejak dahulu tidak pernah berkompromi soal bahasa. Dalam ucapan Belanjawan 2025 semalam, beliau sekali lagi menegaskan kepentingan Bahasa Melayu sebagai lambang jati diri negara dan suara rasmi Malaysia di peringkat dunia,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan mengangkat Bahasa Melayu di peringkat ASEAN memerlukan kesepakatan politik, kebijaksanaan diplomatik dan sokongan rakyat, namun jika dilakukan secara berperingkat, ia mampu menjadikan Bahasa Melayu sebagai tiang seri ASEAN pada abad ke-21.

Ringkasan AI

  • Bahasa Melayu perlu diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN untuk menyatukan lebih 300 juta penduduk di Asia Tenggara
  • Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan penubuhan kumpulan bertindak ASEAN yang melibatkan pakar bahasa dan diplomat untuk mengembangkan Bahasa Melayu
  • Cadangan melancarkan 'Bulan Bahasa Melayu ASEAN' setiap tahun pada Ogos untuk mengukuhkan kebudayaan dan pendidikan
  • Bahasa Melayu memiliki akar sejarah sebagai penyatu serantau dan telah menyerap pelbagai pengaruh tanpa kehilangan identiti
  • Cadangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN mendapat respons positif dari Presiden Indonesia, Joko Widodo

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!