Gagal seludup ikan discus ke Qatar

SEPANG - Cubaan menyeludup ikan hiasan ke Qatar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini digagalkan selepas penahanan seorang lelaki warga Turki, pada Jumaat.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan selepas dikesan cuba membawa keluar 10 ekor ikan discus tanpa sebarang dokumen sah.
Menurutnya, penahanan tersebut dilakukan hasil perkongsian maklumat serta kerjasama antara AKPS KLIA dan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) yang mengesan sebuah bagasi mencurigakan di Pintu Perlepasan Terminal Satelit, Terminal 1 pada jam 6.26 petang.
"Pemeriksaan bagasi menemui 10 ekor ikan hidup.
"Penumpang terbabit dijadualkan akan berlepas ke Doha, Qatar," katanya pada Sabtu.
Tambahnya, semakan dokumentasi mendapati individu berkenaan gagal mengemukakan permit eksport serta dokumen sokongan yang sah termasuk lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sijil kesihatan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
Tegas AKPS, kesemua ikan dirampas untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Pihak AKPS menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengeksport atau mengimport haiwan hidup tanpa dokumen sah.
"Langkah ini penting bagi memastikan kawalan biosekuriti dan keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara," ujarnya.
Ringkasan AI
- Cubaan menyeludup ikan hiasan ke Qatar dari KLIA digagalkan
- Seorang lelaki warga Turki berusia 52 tahun ditahan
- Berusaha membawa keluar 10 ekor ikan discus tanpa dokumen sah
- Penemuan dilakukan melalui kerjasama antara AKPS KLIA dan AVSEC
- Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang langgar undang-undang eksport atau import haiwan hidup tanpa dokumen sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
