Menolak kehadiran Trump selari Maqasid Syariah, bukan tindakan emosi - Ahmad Tarmizi

Ahmad Tarmizi.
Ahmad Tarmizi.
A
A
A

ALOR SETAR - Tindakan menolak kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia bukan berasaskan emosi, sebaliknya selari dengan prinsip Maqasid Syariah bagi memelihara agama dan nyawa umat Islam.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, memberi ruang kepada pemimpin yang terbukti menyokong penindasan rakyat Palestin bercanggah dengan prinsip ḥifẓ al-dīn (menjaga agama) dan ḥifẓ al-nafs (menjaga nyawa) sebagaimana digariskan dalam Islam.

“Trump bukan simbol keamanan dan tamadun, tetapi lambang kezaliman terhadap umat Palestin. Menyambut kehadiran Trump ibarat memberi legitimasi kepada penjenayah perang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut beliau, sepanjang pentadbiran Trump antara tahun 2017 hingga 2021, pemimpin itu telah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan Kedutaan AS ke sana.

“Trump telah menghentikan dana kepada UNRWA, agensi PBB untuk pelarian Palestin. Beliau juga menyalurkan bantuan ketenteraan berbilion dolar kepada Israel, termasuk senjata yang digunakan membunuh ribuan rakyat Gaza,” katanya.

Ahmad Tarmizi turut menolak dakwaan bahawa menentang kedatangan Trump ke Malaysia bertentangan dengan prinsip memelihara keamanan (hifz al-amn) dan pembangunan tamadun (maqasid al-‘umran).

“Prinsip keamanan dan tamadun tidak boleh ditegakkan dengan memberi ruang kepada seorang pemimpin yang terbukti menjadi penyokong utama penindasan Palestin,” katanya.

Menurutnya lagi, dakwaan boikot menyeluruh terhadap Trump boleh menyebabkan Malaysia terdedah kepada sekatan ekonomi dan tekanan diplomasi dari AS juga dipersoalkan.

“Maslahah ekonomi tidak boleh dijadikan alasan menormalisasi kezaliman. Banyak negara lain berani menolak dasar Trump tanpa runtuh ekonominya termasuk Turki, Afrika Selatan dan Ireland serta negara-negara Eropah lantang menentang dasar Trump berhubung Palestin,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Tarmizi berkata, menolak Trump bukan berasaskan emosi, tetapi berdasarkan fakta sahih dan rekod sejarah.

“Afrika Selatan membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan genosid. Keberanian moral ini mengangkat martabat negara mereka, bukan meruntuhkannya. Malaysia juga wajar mengambil pendirian tegas, bukan tunduk kepada ugutan ekonomi.

“Pentagon dan Reuters pada 2024 mengesahkan AS menyalurkan lebih AS$14.3 bilion bantuan ketenteraan kepada Israel sejak perang Gaza bermula pada Oktober 2023. Amnesty International dan Human Rights Watch membuktikan senjata itu digunakan menyerang hospital, sekolah dan masjid di Gaza.

“Ribuan rakyat Amerika sendiri mengadakan demonstrasi di Washington DC, New York, Chicago dan Los Angeles membantah dasar pro-Israel Trump. NGO seperti Jewish Voice for Peace dan CodePink menyeru boikot terhadap Trump kerana penglibatannya dalam genosid,” tambah beliau.

Ahmad Tarmizi tegaskan, Islam hanya menggalakkan hubungan dengan bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam.

“Trump jelas menyokong penjajahan dan pembunuhan umat Islam Palestin. Menyambutnya bukan adab, tetapi pengkhianatan terhadap saudara seagama,” katanya lagi.

Menurutnya, sejarah juga membuktikan menyambut kehadiran Trump tidak membawa manfaat kepada umat Islam.

“Islam benar-benar mengajar kita berbuat baik kepada bukan Islam, tetapi syaratnya mereka tidak memerangi umat Islam. Trump terbukti menyokong penjajahan, pengusiran dan pembunuhan umat Islam Palestin,” katanya.

Pada 1 Oktober, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, tindakan menolak secara menyeluruh kehadiran Trump ke Malaysia dianggap bertentangan dengan dua prinsip penting dalam Maqasid Syariah serta emosi dan sentimen tidak boleh menjadi asas dalam membuat keputusan, sebaliknya perlu ditimbang berasaskan maslahat serta keadilan seperti dituntut syariat Islam.

Terbaharu, pada Selasa, Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan telah mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membahaskan isu jemputan kerajaan kepada Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN.

Beliau berkata, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada Isnin telah menerima usul untuk membahaskan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Usul berkenaan dikemukakan bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi menggesa Dewan Rakyat membahaskannya untuk menangani kebimbangan awam yang semakin meningkat.

Ringkasan AI

  • Tindakan menolak kehadiran Donald Trump ke Malaysia selaras dengan prinsip Maqasid Syariah untuk memelihara agama dan nyawa umat Islam
  • Ahmad Tarmizi Sulaiman menegaskan menyambut Trump sama dengan memberi legitimasi kepada penjenayah perang yang menyokong penindasan rakyat Palestin
  • Sepanjang pentadbiran Trump, beliau menyokong Israel secara terbuka termasuk mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan menghentikan dana kepada UNRWA
  • Menolak kedatangan Trump dikatakan tidak bertentangan dengan prinsip memelihara keamanan dan tamadun malah ekonomi negara lain yang menolak Trump tidak runtuh
  • Menyambut kehadiran Trump dilihat sebagai pengkhianatan terhadap umat Islam Palestin dan tidak membawa manfaat kepada umat Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!