Dr Mahathir gesa pengundi Sabah pilih 'kerajaan yang baik'

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketika Sabah bersiap menghadapi satu lagi kitaran pilihan raya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi untuk memilih 'kerajaan yang baik'.

Bagaimanapun beliau memberi amaran bahawa budaya politik negeri itu yang dipengaruhi oleh personaliti, parti dan suku kaum, mungkin akan menghalang perkara itu daripada berlaku.

Dalam satu temu bual secara terbuka, negarawan itu menzahirkan kebimbangan bahawa walaupun terdapat isu-isu mendesak daripada dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada bencana alam dan kes buli berprofil tinggi, keputusan pilihan raya di Sabah jarang ditentukan berdasarkan kecekapan tadbir urus.

"Mereka sepatutnya memilih kerajaan yang baik tetapi kebanyakannya mereka tidak melihat kepada tadbir urus yang baik. Mereka melihat kepada individu, kepada parti dan juga suku kaum serta yang seumpamanya.

"Jadi, kita tidak akan mendapat kerajaan yang baik hasil daripada pilihan raya," katanya dalam dalam wawancara Sinar Daily Top News Podcast pada Jumaat.

Dr Mahathir menggambarkan landskap politik Sabah sebagai berpecah-belah yang mana tergesa-gesa menubuhkan parti dan gabungan sebaik sahaja pilihan raya diumumkan membawa kepada bilangan calon yang terlalu ramai.

"Sebaik sahaja ada pilihan raya, semua orang mahu menubuhkan parti, semua orang mahu membentuk gabungan dan individu yang mahu bertanding.

"Apa yang kita akan lihat di Sabah adalah rakyat akan berpecah kepada banyak puak kecil," ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pertandingan pelbagai penjuru akan menyebabkan undi berpecah, membolehkan calon menang memperoleh kerusi dengan majoriti kurang, satu keputusan yang menurutnya terpaksa juga diterima oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya sama ada terdapat calon yang berpotensi, Dr Mahathir bersikap skeptikal dan menyatakan bahawa adalah mustahil untuk menilai watak sebenar seseorang calon sebelum mereka berkuasa.

"Dia mungkin sangat baik sebelum menjadi wakil rakyat, tetapi apabila dia mendapat kuasa... kuasa boleh merosakkan.

"Jadi sekiranya mereka menjadi Ketua Menteri atau menteri, ketika itulah mereka menunjukkan sifat sebenar mereka," katanya.

Apabila ditanya sama ada memilih pemimpin yang betul hanya bergantung kepada nasib, beliau menjawab dengan muram: "Ya, lebih kurang begitu."

Ketika Sabah terus bergelut dengan ketidakstabilan politik serta cabaran sosial dan alam sekitar, para pemerhati politik menggesa pengundi agar memilih wakil rakyat yang akan memberi tumpuan untuk menambah baik infrastruktur asas negeri seperti bekalan elektrik yang stabil, bekalan air bersih dan jalan raya berturap baik.

 

Ringkasan AI

  • Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi Sabah memilih 'kerajaan yang baik'
  • Beliau mengamarkan budaya politik Sabah yang dipengaruhi oleh personaliti, parti, dan suku kaum mungkin menghalang pemilihan kerajaan yang baik
  • Dr Mahathir mengkritik landskap politik Sabah sebagai berpecah-belah dengan terlalu banyak calon dan parti
  • Pertandingan pelbagai penjuru menyebabkan undi berpecah dan calon menang dengan majoriti kurang
  • Dr Mahathir skeptikal terhadap kemampuan calon mempertahankan integriti mereka setelah berkuasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!