Tun M persoal motif hidang arak pada majlis rasmi, anggap tidak hormat sensitiviti

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA – “Mungkin disengajakan".

Demikian reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas keputusan untuk menghidangkan minuman beralkohol pada satu majlis rasmi baru-baru ini yang disifatkannya sebagai tindakan melanggar dasar kerajaan sedia ada serta tidak menghormati sensitiviti umat Islam.

Beliau berkata, dasar kerajaan selama ini memang melarang penghidangan minuman beralkohol pada mana-mana majlis rasmi dan perkara itu diketahui umum.

“Bagaimana perkara ini boleh dilanggar, saya tidak faham. Kecuali jika ia memang disengajakan.

“Saya rasa ini seperti satu bentuk ‘ujian’ untuk melihat bagaimana reaksi yang akan timbul,” katanya dalam wawancara Sinar Daily Top News Podcast pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, beliau sukar menerima alasan bahawa individu terlibat tidak tahu perbuatannya itu salah.

“Dia tahu, tetapi tetap melakukannya, mungkin untuk mencetuskan reaksi daripada rakyat yang beragama Islam,” katanya merujuk kepada majlis makan malam gala sempena Global Travel Meet, yang mencetuskan kritikan awam selepas dilaporkan minuman keras dihidangkan pada acara berkenaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kemudiannya mengakui kesilapan beliau dan menzahirkan kekesalan atas ketidakselesaan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

Ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, King Sing berkata, beliau dan kementerian “amat kesal atas sebarang kekeliruan atau salah faham yang menyebabkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat”.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan bahawa majlis makan malam itu telah bertukar menjadi acara persendirian dan mengakui kesilapan kerana tidak memaklumkannya lebih awal, sambil menegaskan ia bukan program rasmi kerajaan.

King Sing turut memberi jaminan bahawa kementeriannya akan memastikan semua acara rasmi selepas ini mematuhi garis panduan kerajaan, khususnya Pekeliling Perkhidmatan 3/2003 yang melarang penghidangan minuman beralkohol pada majlis rasmi.

Kontroversi tersebut turut mencetuskan reaksi apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penghidangan alkohol dalam acara antarabangsa merupakan amalan biasa dan tiada umat Islam yang dipaksa meminumnya.

Kor Ming mengingatkan supaya isu berkenaan tidak diperbesarkan kerana dikhuatiri boleh menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tambahnya, Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan agama yang dibina atas asas saling menghormati dengan konsep 'Malaysia Truly Asia' menggambarkan perpaduan dalam kepelbagaian serta keharmonian antara agama.

Namun, Dr Mahathir menegaskan bahawa penjelasan sebegitu gagal mengambil kira sensitiviti tempatan dan struktur sosial masyarakat Malaysia.

“Bagi umat Islam, isu ini bukan sekadar tentang tidak minum alkohol malah menghidangkannya di hadapan mereka juga tidak wajar.

“Di Malaysia, kita lebih sensitif. Ada perkara yang kita tidak lakukan.

“Contohnya, jika majlis makan malam dihadiri tetamu beragama Islam, kita tidak akan menghidangkan daging babi kerana ia haram. Mungkin orang lain mahu makan dan dia (Muslim) tidak perlu makan tetapi sekurang-kurangnya di Malaysia ia tidak boleh diterima.

“Walaupun di negara lain mungkin perkara itu dilakukan (menghidang alkohol atau babi pada acara rasmi kerajaan) di Malaysia kita tidak berbuat demikian. Rakyat Malaysia mesti faham sistem nilai masyarakat Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa rasa hormat antara satu sama lain di Malaysia menuntut kefahaman terhadap sensitiviti pihak lain.

 

 

Ringkasan AI

  • Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik keputusan menghidangkan minuman beralkohol di majlis rasmi kerana melanggar dasar dan sensitiviti umat Islam
  • Dasar kerajaan melarang penghidangan minuman beralkohol di majlis rasmi
  • Menteri Pelancongan mengakui kesilapan dan menzahirkan kekesalan atas ketidakselesaan yang timbul
  • Majlis makan malam itu bukan program rasmi kerajaan dan berubah menjadi acara persendirian
  • Kontroversi ini mencetuskan reaksi tentang penghidangan alkohol dalam acara antarabangsa dan sensitiviti sosial di Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!