Duda tidak mengaku 10 pertuduhan rogol anak kandung

Tertuduh tidak mengaku bersalah atas 10 pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat.
Tertuduh tidak mengaku bersalah atas 10 pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN – Seorang bapa tunggal mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun sejak Jun lalu di Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Jumaat.

Tertuduh, 48 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Langkap, dalam daerah Hilir Perak, antara 21 Jun hingga 25 September 2025.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa merogol mangsa, di mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang‑undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta tidak lebih daripada 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh, yang merupakan penganggur, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.

Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol, mencadangkan kepada mahkamah agar tiada sebarang jaminan diberikan kerana mangsa merupakan anak kandung tertuduh.

Namun jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau mencadangkan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan bahawa tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Aliff Aiman Rusli, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan bapa kepada dua anak itu tidak bekerja dan ditanggung oleh adik perempuannya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Tarikh 4 Disember depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada Khamis, media melaporkan seorang duda ditahan polis selepas disyaki merogol anak kandungnya yang berusia 11 tahun dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di Langkap dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak menerima laporan mengenai kejadian itu pada 28 September lalu melibatkan suspek.

Ringkasan AI

  • Seorang bapa tunggal mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan merogol anak perempuannya yang berusia 11 tahun sejak Jun lalu
  • Tertuduh berusia 48 tahun didakwa merogol mangsa di Langkap, Hilir Perak dari 21 Jun hingga 25 September
  • Kesalahan tersebut membawa hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan tidak lebih 10 sebatan
  • Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan tiada jaminan tetapi mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan
  • Tarikh 4 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!