KPM perketat langkah kawalan penularan influenza di sekolah

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang memantau secara rapi penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga pendidikan sentiasa terpelihara.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian mengambil perhatian serius terhadap penularan penyakit berjangkit itu dan telah melaksanakan pendekatan berterusan bagi memastikan langkah kawalan serta pencegahan dilaksanakan secara efektif.
“KPM sentiasa komited memastikan kesihatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan terpelihara menerusi pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penyakit yang berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, langkah berkenaan dilaksanakan melalui Surat Pemakluman Berhubung Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI di Institusi Pendidikan KPM sebagai panduan kepada pihak sekolah dalam menguruskan jangkitan secara teratur dan berkesan.
Antara tindakan yang digariskan termasuk menasihati warga institusi pendidikan yang bergejala supaya segera mendapatkan rawatan perubatan serta mengasingkan murid bergejala di bilik sakit bagi mereka yang tinggal di asrama.
“Ibu bapa atau penjaga perlu segera dihubungi untuk menjemput murid pulang atau membenarkan pihak institusi pendidikan membawa murid ke pusat perubatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga,” jelasnya.
Selain itu, katanya, murid yang bergejala disarankan berehat di rumah atau asrama serta mengelak daripada berada di tempat sesak bagi mengekang penularan penyakit.
KPM turut menasihatkan warga institusi pendidikan supaya memakai pelitup muka apabila berjumpa orang lain atau ketika berada di tempat awam.
“Kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan perlu sentiasa dipupuk dalam kalangan warga institusi pendidikan. Ibu bapa dan penjaga juga perlu memahami peranan mereka dalam mencegah penularan ILI,” katanya.
Mohd Azam turut memaklumkan bahawa Surat Peringatan Berhubung Pemakluman Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan ILI telah diedarkan kepada semua institusi pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pada 6 Oktober lalu.
Dalam masa sama, seluruh warga pendidikan diingatkan supaya memberi perhatian terhadap aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan bagi memastikan kesejahteraan murid, guru serta komuniti sekolah sentiasa terpelihara.
“KPM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Kawalan Penyakit sedang memantau secara dekat penularan ILI bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan terus terjamin,” katanya.
Terdahulu KKM mendedahkan kes influenza melonjak secara mendadak dengan 97 kluster dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025 berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya.
Menurut KKM, peningkatan ketara itu kebanyakannya berlaku di institusi pendidikan menjadikan sekolah antara lokasi utama penularan influenza ketika ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 kluster dikesan di sekolah menengah, 26 di sekolah rendah, 15 di tadika dan sembilan di sekolah swasta.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia memantau penularan penyakit Influenza-Like Illness di institusi pendidikan untuk memastikan kesihatan pendidik terpelihara
- Langkah kawalan dan pencegahan penyakit dilaksanakan secara efektif sesuai Surat Pemakluman Berhubung Garis Panduan Pencegahan
- Murid bergejala disarankan mendapatkan rawatan perubatan dan diasingkan, serta memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan
- Surat Peringatan telah diedarkan kepada semua institusi pendidikan mengenai garis panduan pencegahan ILI
- Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan peningkatan mendadak kes influenza di institusi pendidikan, menjadikan sekolah sebagai lokasi utama penularan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

