97 kluster influenza dalam seminggu, majoriti di sekolah - KKM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan lonjakan mendadak sebanyak 97 kluster influenza direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025, berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya.
Menurut KKM, peningkatan ketara itu kebanyakannya berlaku di institusi pendidikan, menjadikan sekolah antara lokasi utama penularan influenza ketika ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 32 kluster dikesan di sekolah menengah, 26 di sekolah rendah, 15 di tadika dan sembilan di sekolah swasta.
Lima negeri yang mencatat jumlah kluster tertinggi ialah Selangor dengan 43 kluster, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (15), Pulau Pinang (10), Johor (9) serta Kedah (5).
Menerusi kenyataan itu, KKM menjelaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan jangkitan, keadaan masih dalam jangkaan musim influenza dan terkawal, dengan kadar kemasukan ke hospital bagi kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) menunjukkan sedikit penurunan.
"Survelan makmal juga mengesahkan tiada mutasi baharu dikesan, dengan penularan berpunca daripada virus Influenza A (H3), iaitu strain bermusim," katanya pada Khamis.
Ujar KKM, pemantauan di sembilan hospital sentinel mendapati kadar kemasukan kes SARI menurun daripada 9.59 peratus pada ME 39/2025 kepada 9.08 peratus pada ME 40/2025.
"Namun, daripada 58 klinik kesihatan sentinel seluruh negara, kadar Influenza-Like Illness (ILI) meningkat kepada 7.38 peratus pada minggu terkini berbanding 5.95 peratus pada minggu sebelumnya," jelas kementerian itu.
Lima negeri dengan kadar konsultasi ILI tertinggi ialah Selangor (14.63 peratus), Melaka (12.49 peratus), Pulau Pinang (12.49 peratus), Kuala Lumpur dan Putrajaya (11.62 peratus), serta Sabah (8.73 peratus).
KKM menegaskan bahawa peningkatan itu mencerminkan pola penularan influenza bermusim yang lazim berlaku setiap tahun, dan keadaan setakat ini masih terkawal.
"Ujian makmal turut mengesahkan tiada mutasi baharu dikesan, dengan penularan berpunca daripada virus Influenza A (H3), iaitu strain bermusim yang sudah sedia wujud," katanya.
Sehubungan itu, KKM tidak menjalankan ujian makmal secara rutin bagi semua kes ILI memandangkan majoritinya bergejala ringan dan boleh didiagnosis secara klinikal tanpa pengesahan makmal.
Rawatan hanya diberikan kepada pesakit berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil, serta individu yang menghidap penyakit kronik.
"Secara umumnya, kebanyakan pesakit influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus. Pesakit dinasihatkan supaya berehat secukupnya, minum air dengan banyak serta mengamalkan etika batuk dan kebersihan diri," katanya.
Dalam pada itu, KKM turut mengingatkan pihak institusi pendidikan supaya memantau pelajar bergejala, mengasingkan mereka daripada rakan lain, dan segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sekiranya berlaku peningkatan kes.
"Langkah ini penting bagi membolehkan tindakan kawalan dilaksanakan segera bagi mengekang penularan jangkitan di peringkat sekolah," katanya.
KKM memberi jaminan akan terus memantau situasi influenza di seluruh negara dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan lonjakan mendadak 97 kluster influenza pada Minggu Epidemiologi 40/2025
- Lonjakan itu kebanyakannya berlaku di institusi pendidikan, menjadikan sekolah lokasi utama penularan
- Terdapat 32 kluster di sekolah menengah, 26 di sekolah rendah, 15 di tadika dan sembilan di sekolah swasta
- Selangor mencatat jumlah kluster tertinggi dengan 43 kluster, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor serta Kedah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

