Sembilan lelaki termasuk warga asing ditahan bersama dadah lebih RM30,000

KUANTAN - Sembilan lelaki termasuk tiga warga asing ditahan bersama dadah dianggarkan bernilai lebih RM34,000 hasil serbuan ke atas sebuah pondok di Lorong Galing 17, Taman Setali Wangsa di sini pada Khamis.
Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui kenyataan di Facebooknya berkata, tangkapan dan rampasan dadah itu dilakukan dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari semasa tugas dalam Op Taring Sky di sini.
Menurut kenyataan itu, dadah dirampas terdiri 1,000 biji pil Yaba, syabu (122.83 gram) dan ganja (2.20 gram).
"Turut dirampas wang tunai RM6,267 disyaki hasil kegiatan haram tersebut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM 40,838.
"Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, hasil ujian air kencing ke atas suspek ditahan, enam daripada mereka didapati positif dadah jenis amphetamine.
Jelasnya lagi, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 39B, 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi memastikan negara ini bebas daripada kegiatan penyalahgunaan dadah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

