Taktik naik bas ekspres gagal, 24 PATI pelbagai negara diberkas

GUA MUSANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara yang menaiki bas ekspres semasa melalui sekatan jalan raya di Stesen Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mentara, di sini pada Rabu.
Jurucakap JIM Kelantan berkata, taktik menggunakan perkhidmatan bas ekspres dipercayai digunakan oleh PATI untuk mengelak daripada dikesan dan ditahan pihak berkuasa.
“Kesemua mereka ditahan semasa menaiki bas dari arah Kota Bharu ke Kuala Lumpur dan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar dan Indonesia melibatkan 15 lelaki dan sembilan wanita.

“Daripada jumlah itu, warga Indonesia merupakan paling ramai ditahan iaitu seramai lapan orang, diikuti warga India dan Bangladesh masing-masing enam orang, Myanmar tiga orang dan Pakistan dua orang,” katanya.
Jurucakap itu berkata, kesemua warga asing berkenaan telah dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara atau bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya.
Ringkasan AI
- JIM Kelantan menahan 24 PATI pelbagai negara dalam operasi di Gua Musang
- PATI menggunakan bas ekspres sebagai taktik mengelak pemeriksaan
- Penahanan melibatkan warga Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar dan Indonesia
- PATI terdiri daripada 15 lelaki dan sembilan wanita
- Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang mendalangi, memudahcara atau bersubahat melindungi PATI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

