'Apa cerita, Jabatan imigresen?'- Fahmi Reza tuntut penjelasan isu sekatan keluar negara

SHAH ALAM – Aktivis dan pereka grafik bebas, Fahmi Reza mempersoalkan ketelusan sistem Jabatan Imigresen Malaysia susulan dakwaan sekatan perjalanan ke luar negara yang dikenakan terhadapnya, walaupun pihak berkuasa sebelum ini menafikan perkara tersebut.
Dalam video yang dimuat naik ke Facebook pada Khamis, Fahmi atau nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin menunjukkan hasil semakan terbaharu di laman web Jabatan Imigresen, yang memaparkan mesej ‘sila rujuk ke pejabat imigresen terdekat’ menandakan wujud sekatan aktif terhadap dirinya.
Namun semakan menerusi versi bahasa Inggeris laman web sama menunjukkan keputusan berbeza iaitu “no restriction” (tiada sekatan), sekali gus mencetuskan kekeliruan dan tanda tanya mengenai ketelusan sistem sedia ada.
“Lima hari lepas aku kena sekat imigresen, tak boleh keluar negara. Alasan yang diberi, Bukit Aman tak benarkan. Tapi bila semak laman web imigresen versi Inggeris, tiada sekatan. Versi Bahasa Melayu pula kata rujuk pejabat imigresen. Apa cerita ni?” katanya.
Fahmi turut memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, yang sebelum ini menegaskan tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap dirinya.
“Ketua Polis Negara sendiri kata tiada sekatan rasmi, tapi sistem imigresen kata sebaliknya. Siapa yang betul? Aku cuma mahu penjelasan,” katanya.
Sebelum ini, Fahmi menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa berikutan kenyataan bercanggah melibatkan dirinya.
Beliau mendakwa wujud sikap lepas tangan dalam kalangan pemimpin dan agensi terlibat, termasuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuding kepada polis, manakala polis pula merujuk kepada Jabatan Imigresen.
Larangan perjalanan terhadap Fahmi berlaku minggu lalu ketika beliau ingin ke Singapura untuk menghadiri sebuah konsert.
Beliau memaklumkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberitahu oleh pegawai imigresen bahawa larangan tersebut berpunca daripada arahan Bukit Aman.
Insiden itu berlaku hanya seminggu selepas beliau disekat daripada memasuki Sabah, dipercayai berikutan lukisan satira yang mengkritik Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Sebelum ini, media melaporkan tiada sekatan perjalanan dikenakan ke atas Fahmi sebagaimana didakwa di media sosial.
Ketua Polis Negara menyatakan Fahmi hanya berada dalam senarai pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bukan dikenakan sekatan rasmi.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay turut diarahkan untuk menyemak semula isu berkenaan atas arahan Perdana Menteri.
Susulan kekeliruan berterusan, Fahmi kini mendesak Jabatan Imigresen Malaysia tampil memberi penjelasan rasmi mengenai percanggahan sistem semakan perjalanan yang menjejaskan hak asasi dan kebebasan bergeraknya sebagai warganegara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!