Tentera laut Israel serang 3 kapal FFC ke Gaza di perairan antarabangsa

Tentera Laut Israel menyerang tiga kapal "Freedom Flotilla Coalition" (FFC) yang menuju ke Gaza pada awal pagi Rabu di perairan antarabangsa.
Tentera Laut Israel menyerang tiga kapal "Freedom Flotilla Coalition" (FFC) yang menuju ke Gaza pada awal pagi Rabu di perairan antarabangsa.
A
A
A

ISTANBUL - Tentera Laut Israel menyerang tiga kapal "Freedom Flotilla Coalition" (FFC) yang menuju ke Gaza pada awal pagi Rabu di perairan antarabangsa, kira-kira 120 batu nautika (222 kilometer) dari enklaf itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Kami mengesahkan yang tiga kapal iaitu Gaza Sunbird, Alaa Al-Najjar dan Anas Al Sharif diserang dan dipintas secara haram oleh tentera Israel pada 04:34 pagi, 220 km dari pantai Gaza," menurut Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Kepungan Gaza di platform X.

"Video menunjukkan detik serangan ke atas bot Sunbird dan percubaan untuk menyembunyikan jenayah itu dengan menyerang kamera menggunakan senjata," katanya.

Siaran langsung di saluran YouTube gabungan itu menunjukkan beberapa askar Israel menyerbu kapal Gaza Sunbird.

Media melaporkan (Saluran 13 Israel) sebelum ini yang tentera Israel sedang bersiap sedia untuk menyerang flotilla itu.

"Kira-kira 120 batu nautika dari Gaza, Israel menyerang flotilla kami," kata gabungan itu kemudian di platform media sosial AS, Instagram.

Kebanyakan siaran langsung terputus, katanya, sambil menjelaskan yang tentera Israel "sedang cuba untuk mengubah laluan mereka. Butiran lanjut akan menyusul."

Penjejak rasmi gabungan itu juga mengalami gangguan, menurut AA.

"Tentera Israel tiada bidang kuasa undang-undang ke atas perairan antarabangsa. Flotilla kami tidak mendatangkan sebarang bahaya," kata gabungan itu di Instagram.

Artikel Berkaitan:

Kapal flotilla "membawa bantuan penting bernilai lebih AS110,000 dalam bentuk ubat-ubatan, peralatan pernafasan dan bekalan nutrisi untuk hospital Gaza. Tag ahli politik dan media anda - tamatkan pencabulan hak asasi manusia Israel sekarang," katanya.

Kira-kira 100 orang berada di atas konvoi sembilan bot itu, sebahagian daripada misi "Thousand Madleens" FFC untuk mencabar pengepungan haram Israel ke atas Gaza.

FFC, yang ditubuhkan pada 2010 melancarkan puluhan misi yang bertujuan untuk menghantar bantuan dan menarik perhatian global terhadap krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang dikepung Israel.

Konvoi terbaharu itu berlayar selepas pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas lebih daripada 40 bot yang belayar ke Gaza minggu lalu untuk mencabar sekatan Israel dan menahan lebih 450 aktivis di dalamnya.

Israel, sebagai kuasa penjajah, sebelum ini pernah menyerang kapal yang menuju ke Gaza, merampas kargo mereka dan mengusir aktivis di dalamnya.

Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza, yang didiami hampir 2.4 juta orang, selama hampir 18 tahun dan mengetatkan lagi pengepungan pada Mac, apabila ia menutup lintasan sempadan dan menyekat penghantaran makanan dan ubat-ubatan, membiarkan enklaf itu ke arah kebuluran.

Sejak Oktober 2023, serangan bom Israel membunuh lebih daripada 67,100 rakyat Palestin di enklaf itu, yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan menjadikannya tidak sesuai untuk didiami. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Tentera Laut Israel menyerang tiga kapal "Freedom Flotilla Coalition" yang menuju ke Gaza di perairan antarabangsa
  • Kapal-kapal itu membawa bantuan bernilai lebih dari AS$110,000 termasuk ubat-ubatan dan bekalan nutrisi untuk hospital di Gaza
  • Serangan tersebut dilaporkan berlaku 220 km dari pantai Gaza, menargetkan kapal seperti Gaza Sunbird dan dua lagi
  • Konvoi ini adalah sebahagian dari misi "Thousand Madleens" FFC yang bertujuan menarik perhatian terhadap pengepungan Gaza oleh Israel
  • Israel telah mengepung Gaza selama hampir 18 tahun, memperketat sekatan dan menyekat penghantaran makanan serta ubat-ubatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!