[VIDEO] Kapal FFC x TMTG dipintas: Tiada akses perhubungan hingga 24 jam – MyCARE
SERDANG – [DIKEMAS KINI] Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menjangkakan tiada sebarang akses komunikasi dapat dilakukan dengan semua delegasi Malaysia dalam misi gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) untuk tempoh sehingga 24 jam, susulan pemintasan kapal oleh tentera Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar menjelaskan bahawa lebih 15 jam diperlukan untuk membawa semua bot dari lokasi pintasan ke daratan.

“Pintasan berlaku sekitar jam 5 pagi waktu tempatan (perairan Mesir)... biasanya apabila dipintas, bot akan diserahkan sepenuhnya kepada tentera Israel untuk dibawa ke darat. Kami tidak akan bantu mereka mengemudi bot selepas itu.
“Jarak dari lokasi pintasan kira-kira 100 batu nautika ke Pelabuhan Ashdod, Israel, boleh mengambil masa sehingga 24 jam, atau sekurang-kurangnya 15 jam,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai perkembangan terkini misi FFC x TMTG, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, kemungkinan besar tiada komunikasi dapat dilakukan dengan mana-mana individu di atas kapal, termasuk delegasi Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa semua langkah yang perlu telah pun diambil oleh pihak MyCARE di daratan, bagi memastikan keselamatan para sukarelawan.
Terdahulu, sembilan buah kapal yang menyertai misi kemanusiaan tersebut telah dipintas oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di perairan antarabangsa ketika menghampiri zon merah Gaza, sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Misi pelayaran FFC x TMTG yang merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan serta menuntut pembukaan koridor kemanusiaan ke Gaza.
Lapan delegasi Malaysia yang menaiki kapal Conscience milik FFC itu terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.
Kapal terbesar Conscience membabitkan 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis dan enam Jawatankuasa Pemandu FFC.
Ringkasan AI
- Kapal FFC x TMTG dipintas: Tiada akses perhubungan hingga 24 jam – MyCARE
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
