FFC x TMTG: Kerajaan pantau rapat penahanan sembilan rakyat Malaysia oleh rejim Israel - Fahmi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sedang memantau rapat perkembangan penahanan sembilan rakyat Malaysia oleh rejim Zionis Israel dalam misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) termasuk bersedia mengambil langkah sewajarnya melalui saluran diplomatik tertinggi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pihak Wisma Putra kini mengikuti rapat isu berkenaan serta bersiap sedia untuk bertindak sekiranya proses sama seperti yang dialami aktivis misi Global Sumud Flotilla berulang.
“Saya percaya Insya-ALLAH pihak Wisma Putra sedang mengikuti isu ini dan bersedia mengambil tindakan-tindakan yang perlu, termasuk melalui diplomasi peringkat tertinggi serta hubungan kita dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Kita tunggu beberapa laporan kerana sudah pasti sekiranya pihak Israel membawa mereka dan memproses dengan cara yang sama, kita akan dapat sedikit maklum balas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di ibu negara pada Rabu.
Fahmi berkata, kerajaan akan meneliti maklumat lanjut mengenai situasi itu daripada sumber rasmi dan perkembangan terkini dijangka diperoleh menjelang program kerajaan di Axiata Arena pada malam ini.
Terbaharu pada Rabu, sembilan kapal bantuan kemanusiaan yang terlibat misi di bawah gabungan FFC x TMTG, kini dilaporkan telah dipintas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika sedang menuju ke perairan zon merah.
Perkara itu disahkan oleh Pusat Kawalan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang memaklumkan kapal freedom flotilla bagi misi berkenaan telah dipintas pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Menurut data pelayaran terakhir pada jam 04:00 UTC (11 pagi waktu Malaysia), kapal itu dikesan berada di koordinat 32°30.649′ N, 30°24.474′ E iaitu kira-kira lebih 120 kilometer dari pesisir Gaza.
Kapal itu dilaporkan bergerak pada kelajuan 4.32 knots knot dengan haluan 90 darjah.
Sebelum ini, kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan FFC x TMTG dijangka memasuki zon merah pada jam 5 petang waktu Malaysia pada Rabu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia memantau rapat penahanan sembilan rakyat Malaysia oleh rejim Zionis Israel
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyatakan Wisma Putra sedang bersiap sedia untuk tindakan diplomatik
- Penahanan berlaku dalam misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza
- Sembilan kapal bantuan kemanusiaan dipintas Pasukan Pertahanan Israel ketika menuju ke perairan zon merah
- Kapal tersebut dilaporkan berada lebih 120 kilometer dari pesisir Gaza pada koordinat 32°30.649' N, 30°24.474' E
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

