Polis jangka 2.1 juta kenderaan di jalan raya sempena cuti Deepavali

Op Lancar sempena cuti perayaan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Oktober.
Op Lancar sempena cuti perayaan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Oktober.
A
A
A

BENTONG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan akan berada di jalan raya seluruh negara bermula 18 Oktober ini, sempena cuti perayaan Deepavali.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh itu, Op Lancar sempena cuti perayaan Deepavali akan dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Oktober.

"Fokus operasi adalah untuk memastikan aliran trafik lancar, terutama di lebuh raya, jalan bandaran dan jalan persekutuan selain kawasan tumpuan pelancongan.

"JSPT juga akan segera membantu pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan bagi mengelak kesesakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program menembak bersama media di Lapang Sasar Ibu Pejabat Polis Bentong di sini pada Khamis. 

Mohd Yusri berkata, sebanyak 500 anggota JSPT akan ditugaskan di seluruh negara, meliputi lebuh raya utama, jalan persekutuan, jalan bandaran serta lokasi hotspot trafik dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, pihaknya juga menunggu arahan lanjut daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung larangan perjalanan kenderaan perdagangan di lebuh raya utama sepanjang cuti perayaan itu.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan cuti tambahan sekolah antara satu hingga dua hari, menjadikan tempoh cuti panjang antara lima hari bagi murid di Semenanjung dan empat hari bagi murid di Sarawak, bermula 17 hingga 22 Oktober. - Bernama 

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • PDRM menjangkakan kira-kira 2.1 juta kenderaan akan berada di jalan raya sempena cuti perayaan Deepavali bermula 18 Oktober
  • Op Lancar dilaksanakan bermula 17 hingga 21 Oktober untuk memastikan kelancaran trafik
  • Fokus operasi adalah untuk memastikan aliran trafik lancar di lebuh raya, jalan bandaran, jalan persekutuan dan kawasan tumpuan pelancongan
  • Sebanyak 500 anggota JSPT akan ditugaskan di seluruh negara
  • Kementerian Pendidikan memperuntukkan cuti tambahan sekolah menjadikan tempoh cuti panjang lima hari bagi murid di Semenanjung dan empat hari bagi murid di Sarawak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!