SLEP, refit dan repowering strategi pastikan aset pada tahap optimum

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan program Service Life Extension Programme (SLEP), Refit dan Repowering bagi memastikan kapal sedia ada kekal beroperasi secara optimum tanpa perlu menanggung kos tinggi bagi pembinaan kapal baharu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, langkah berkenaan mampu memanjangkan jangka hayat kapal antara 10 hingga 15 tahun serta meningkatkan kecekapan operasi aset yang telah lama digunakan.
Beliau berkata, walaupun kebanyakan kapal Maritim Malaysia sudah berusia, aset berkenaan masih berupaya melaksanakan tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.
"Antara tugas utama Maritim Malaysia termasuk mencegah penyeludupan, perdagangan manusia, dadah, rokok dan barangan bersubsidi, selain membanteras pencerobohan vesel negara asing (VNA).
"Setiap kapal masih menjadi tulang belakang strategi operasi kami termasuk keberadaan aset di perairan, kempen kesedaran maritim, tindakan awal dalam sesuatu operasi atau insiden serta kerjasama komuniti maritim,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, program penyelenggaraan itu turut mempercepatkan kesiapsiagaan kapal untuk kembali beroperasi di lapangan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan, berbanding proses pembinaan kapal baharu yang mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
"Melalui pendekatan ini, Maritim Malaysia dapat memastikan kapal lama kembali beroperasi dengan prestasi lebih baik tanpa menanggung kos besar seperti pembinaan kapal baharu,” katanya.
Tambahnya, pembaikan kapal kelas offshore patrol vessel (OPV) hanya memerlukan antara 15 hingga 20 peratus daripada kos pembinaan kapal baharu yang dianggarkan sekitar RM350 juta.
"Selain melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, kapal Maritim Malaysia juga berperanan penting dalam misi menyelamat nyawa dan harta benda di laut.
"Dengan kepakaran teknikal sedia ada, kita mampu mengekalkan kapal berusia supaya terus berfungsi dengan baik dan selamat,” katanya.
Mohd Rosli menegaskan, inisiatif tersebut selaras dengan dasar kerajaan yang menekankan pengurusan aset secara berhemah, berasaskan nilai pulangan tinggi serta memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat maksimum kepada keselamatan dan kesejahteraan maritim negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

