Hamas sedia runding pelan damai bukan tanda lemah, tetapi strategi hikmah - Abdul Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan langkah Hamas menyambar umpan pelan damai yang dicampak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tanpa menelan mata pancingnya sebagai hikmah kebijaksanaan politik Islam yang tinggi serta mencerminkan kematangan strategi perjuangan gerakan Islam itu di gelanggang antarabangsa.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kesediaan Hamas menerima pelan damai itu bukan tanda kelemahan, sebaliknya strategi hikmah dengan mengambil peluang daripada aspek positif dan menolak syarat-syarat yang menjerat perjuangan Palestin.
“Langkah Hamas menyambar umpan yang dicampak oleh Trump tanpa menelan mata pancingnya adalah hikmah (kebijaksanaan) politik yang tinggi,” ujar Abdul Hadi dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.

Kata Abdul Hadi lagi, keputusan Hamas untuk menyertai rundingan gencatan senjata walaupun ditawarkan pelan damai oleh pihak lawan merupakan tindakan yang berpandukan prinsip Islam iaitu mendahulukan perdamaian tanpa tunduk kepada penindasan.
“Hamas memperkenalkan kepada dunia konsep Islam yang mendahulukan perdamaian dalam hubungan antarabangsa dan antara agama dalam masyarakat majmuk yang adil dan berperikemanusiaan, walaupun terhadap musuh yang sedang menceroboh dan melampau,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa langkah itu mengingatkan kepada Perjanjian Hudaibiyyah pada zaman Rasulullah SAW apabila baginda menerima syarat-syarat yang kelihatan berat sebelah demi mencapai manfaat jangka panjang kepada umat Islam.
Abdul Hadi berkata, kesediaan rejim Zionis dan sekutunya untuk menerima pelan damai yang dicadangkan oleh Trump sendiri menunjukkan kegagalan mereka mencapai kemenangan tentera ke atas Hamas selepas dua tahun peperangan di Gaza.
“Mengikut bacaan politik dan ketenteraan, kesediaan rejim Zionis menerima pelan damai Trump menunjukkan tanda awal mereka menyerah kalah dan kemenangan awal kepada Hamas,” katanya.
Beliau turut menyifatkan krisis dalaman Israel dari segi politik, ekonomi dan moral tentera sebagai bukti jelas kegagalan operasi menawan Gaza hingga memaksa mereka bergantung kepada Amerika Syarikat untuk memujuk Hamas agar bersetuju kepada gencatan senjata.
Dalam kenyataannya, Presiden Pas itu turut menegaskan bahawa strategi Hamas menerima pelan damai tersebut bukan bermakna berundur, sebaliknya mengambil masa untuk mengumpul kekuatan dan mengatur langkah baharu dalam perjuangan yang panjang.
"Langkah bijak Hamas memerlukan kepada mereka menarik nafas bagi mengumpul kekuatan dan meneruskan perjuangan yang masih belum selesai, bukan makna berundur dan menyerah terhadap kezaliman," tegasnya.
Abdul Hadi turut memetik firman ALLAH SWT daripada Surah al-Anfal ayat 61–63 sebagai pedoman kepada langkah Hamas yang mengutamakan perdamaian namun tetap bersiap siaga terhadap tipu helah musuh.
Dalam pada itu, katanya, penerimaan pelan damai ini turut membuka ruang kepada pengiktirafan terhadap entiti politik Hamas bagi membolehkan mereka terlibat dalam rundingan bersama semua kumpulan Palestin dengan sokongan negara Arab dan Islam.
Tambah beliau, pendekatan Hamas itu telah mendapat sambutan positif masyarakat antarabangsa serta membatalkan naratif Islamofobia yang sekian lama dipropagandakan media Barat yang dipengaruhi Zionis.
“Walaupun Israel menolaknya, dunia kini dapat menyaksikan pendekatan Islam sebenar yang adil dan membawa keamanan, berbeza dengan gambaran songsang yang dicipta terhadap Islam,” katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan bahawa peristiwa terkini di Gaza sekali lagi menelanjangkan sifat kezaliman Zionis yang dimurkai ALLAH SWT serta membuktikan bahawa Islam tetap akan dipelihara daripada tipu daya musuhnya.
Pada Isnin, rundingan mengenai pelan damai Gaza yang dicetuskan oleh Trump kini sedang berlangsung di Mesir dengan penyertaan wakil daripada Hamas, Israel, AS, Mesir dan Qatar, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Delegasi Hamas diketuai oleh Khalil al-Hayya, pemimpin kanan pergerakan itu di luar negara, yang bertemu dengan pengantara dari Qatar dan Mesir pada Isnin bagi membincangkan potensi gencatan senjata, pembebasan tawanan serta pertukaran tahanan.
Mesir, Qatar dan AS bertindak sebagai pengantara utama dalam rundingan tersebut, manakala sesi susulan dijangka turut melibatkan wakil Israel dan AS.
Namun, seperti pusingan sebelumnya, wakil Hamas dan Israel tidak akan berunding secara langsung antara satu sama lain, sebaliknya menggunakan saluran diplomatik yang diuruskan oleh pihak ketiga.
Rundingan berkenaan dilihat sebagai peluang penting bagi menamatkan konflik dua tahun di Gaza yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan lebih dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

