FFC x TMTG: Kapal pemerhati Shireen Abu Akleh alami kerosakan

SERDANG – Kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam antarabangsa bagi memantau misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dilaporkan tidak dapat meneruskan pelayaran selepas mengalami kerosakan enjin di Cyprus dan terpaksa patah balik untuk dibaiki.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kapal tersebut sepatutnya memainkan peranan penting sebagai pemerhati bebas dan pengumpul bukti undang-undang antarabangsa sekiranya berlaku pelanggaran maritim oleh tentera Israel.
“Tujuan kapal Shireen Abu Akleh ini adalah untuk menilai serta merekod sebarang tindakan Israel terhadap armada flotilla. Ia membawa pasukan peguam antarabangsa bagi memastikan bukti dikumpulkan secara sah di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE, di sini pada Selasa.
Jelasnya, meskipun kapal pemerhati itu tidak dapat bersama, sembilan kapal lain dalam misi FFC x TMTG tetap meneruskan pelayaran menuju Gaza dengan pemantauan komunikasi dan koordinasi berterusan di perairan antarabangsa.
Menurutnya, setiap kapal dalam armada itu dilengkapi teknologi komunikasi satelit dan sistem navigasi terkini, membolehkan laporan langsung dikongsi kepada dunia walaupun tanpa kehadiran kapal pemerhati berkenaan.
“Jika dibandingkan dengan misi 2016, ketika itu kita hanya bergantung pada telefon satelit. Tetapi kali ini, setiap kapal dilengkapi sistem rakaman berdefinisi tinggi dan sambungan langsung ke laman rasmi Freedom Flotilla Coalition. Dunia kini dapat menyaksikan sendiri apa yang berlaku,” katanya.
Tambahnya, pelayaran kali ini menjadi simbol kepada kebangkitan teknologi kemanusiaan global, apabila aktivis dan wartawan di atas kapal boleh menyiarkan secara langsung tindakan tentera Zionis terhadap misi aman berkenaan.
“Dengan teknologi ini, kita menafikan ruang Israel untuk menipu naratif antarabangsa. Dunia boleh melihat bukti sahih secara terus dari laut Mediterranean,” katanya.
Kamarul Zaman turut berkata, misi FFC x TMTG bukan sekadar membawa bantuan makanan dan perubatan, tetapi usaha berterusan untuk membuka mata dunia terhadap genosid di Gaza.
“Misi ini adalah usaha panjang bagi menegakkan kesedaran global tentang kezaliman terhadap rakyat Palestin. Ia bukan soal kejayaan segera, tetapi tentang tanggungjawab moral untuk terus bersuara,” ujarnya.
Tambahnya, sejak lebih 75 tahun penindasan berterusan dilakukan ke atas rakyat Palestin, rejim Israel tidak pernah membezakan mangsa sama ada wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya atau wartawan.
“Segala bentuk kekejaman dilakukan tanpa batas. Namun, kita tidak boleh berdiam diri. Ini adalah perjuangan kemanusiaan untuk menegakkan keadilan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kapal pemerhati Shireen Abu Akleh yang membawa pasukan peguam antarabangsa untuk misi Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza terpaksa patah balik ke Cyprus kerana kerosakan enjin
- Kapal tersebut berperanan sebagai pemerhati bebas dan pengumpul bukti undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran maritim oleh tentera Israel
- Sembilan kapal lain dalam misi tersebut teruskan pelayaran ke Gaza dengan teknologi komunikasi satelit dan sistem navigasi terkini untuk kongsi laporan langsung
- Misi tersebut menampilkan penggunaan teknologi kemanusiaan global, membolehkan aktivis dan wartawan siarkan langsung tindakan tentera Zionis
- Misi FFC x TMTG bertujuan membuka mata dunia terhadap genosid di Gaza dan menegakkan kesedaran global tentang kezaliman terhadap rakyat Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

