Freedom Flotilla Coalition disasar masuk zon kuning esok - MyCARE

SERDANG - Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini dalam pelayaran ke Gaza dijangka memasuki zon kuning pada Selasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, sasaran itu ditetapkan bagi membolehkan misi membabitkan sembilan kapal termasuk kapal utama Conscience dan kapal pelayaran Umm Saad, tiba di Gaza sebelum hujung minggu.
Beliau berkata, pihaknya berusaha mengelak ketibaan pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu memandangkan hari berkenaan merupakan cuti di Israel, yang boleh menyukarkan akses kepada bantuan guaman sekiranya misi peserta dihalang.
"Jadi, mereka akan cuba tiba sebelum itu, bila sampai Rabu, jika misi dipintas dan dibawa ke pelabuhan, peguam akan sampai dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan akses kepada peserta misi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini pada Isnin.
Kamarul Zaman berkata, setakat 2.20 pagi (waktu Malaysia), jarak kapal Conscience ke Gaza kurang daripada 250 batu nautika dan pihaknya menganggarkan mereka memasuki zon kuning dalam tempoh kurang 24 jam.
Beliau berkata, kapal Conscience yang membawa sembilan delegasi Malaysia sedang mengatur strategi memperlahankan pelayaran bagi menunggu lapan kapal layar lain termasuk kapal Umm Saad yang membawa seorang delegasi negara ini untuk bergabung sebelum bersama-sama menuju ke zon kuning.
Kamarul Zaman berkata, beliau turut dimaklumkan oleh ketua delegasi Malaysia di atas kapal Conscience, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali mengenai kehadiran beberapa dron yang berlegar di atas kapal dipercayai bertujuan menakut-nakutkan peserta misi.
"Delegasi Malaysia di atas kapal Conscience juga membuat penstriman langsung bersama pihak hospital Al-Awda di Gaza yang melaporkan situasi di klinik mereka sangat kekurangan peralatan dan bekalan perubatan.
"Mereka terpaksa menggunakan kaedah konvensional dalam merawat pesakit selain menggunakan kreativiti untuk ubah suai peralatan perubatan sedia ada,” katanya.
Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept lepas diketuai Mohd Alauddin, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.
Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia. - Bernama
Ringkasan AI
- Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition kini dalam pelayaran ke Gaza dengan sembilan kapal termasuk Conscience dan Umm Saad
- Misi diatur untuk mengelak hari cuti di Israel bagi memastikan akses bantuan guaman dapat diperolehi jika dihalang
- Kapal Conscience dengan sembilan delegasi Malaysia kurang daripada 250 batu nautika dari Gaza
- Kapal-kapal dalam misi memperlahankan pelayaran untuk bergabung sebelum memasuki zon kuning
- Delegasi Malaysia melakukan penstriman langsung dengan pihak hospital Al-Awda di Gaza yang kekurangan peralatan perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
