Misi FFC x TMTG elak tiba di Gaza 7 Oktober

SERDANG – Misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleens to Gaza (TMTG) merancang untuk tidak tiba di Gaza pada 7 Oktober bagi mengelakkan sebarang kemungkinan tindakan ketenteraan oleh pihak Israel pada tarikh tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, tarikh ketibaan misi ditentukan dengan penuh berhati-hati agar konflik Taufan Al-Aqsa pada tahun 2023 tidak dijadikan justifikasi bagi tindakan bersenjata terhadap aktivis dan sukarelawan.
“Antara strategi ialah mengelak daripada dipintas oleh tentera Israel pada hari Jumaat atau Sabtu kerana ia merupakan hujung minggu mereka dan kebiasaannya, tiada urusan rasmi dijalankan.
“Jika misi dipintas dan ditahan pada hari tersebut, peguam ADALAH (The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel) tidak dapat bertemu tahanan kerana tiada urusan mahkamah atau perundangan dijalankan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE di sini pada Isnin.
Dalam pelayaran gelombang ketiga membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, sembilan delegasi Malaysia terdiri daripada pakar perubatan, pensyarah, wartawan dan aktivis kemanusiaan turut menyertai misi tersebut.
Kesemua mereka berlayar bersama lebih 150 aktivis dari 25 negara di bawah gabungan FFC serta gerakan masyarakat antarabangsa TMTG.
Sementara itu, mengulas mengenai pelan damai yang dikaitkan dengan pentadbiran Donald Trump dan dipersetujui Hamas, Kamarul Zaman menjelaskan, MyCARE bersiap sedia untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi pintu Rafah apabila dibuka kelak.
Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) itu telah menyalurkan bantuan daripada rakyat Malaysia berjumlah lebih RM27 juta dari dalam dan luar Gaza.
“Kita masih mempunyai pejabat di Gaza yang masih beroperasi dan semalam, kami sempat berkomunikasi bagi mengagihkan bantuan daripada penyumbang tegar di Malaysia.
“Walaupun sumbangan dari luar agak terbatas, bantuan dari dalam negara masih berterusan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Misi Freedom Flotilla Coalition bersama Thousand Madleens to Gaza tidak akan tiba di Gaza pada 7 Oktober untuk mengelak tindakan ketenteraan Israel
- Tarikh ketibaan ditentukan berhati-hati untuk elak konflik Taufan Al-Aqsa menjadi justifikasi tindakan bersenjata
- Misi mengelak dipintas oleh tentera Israel pada hujung minggu, masa tiada urusan rasmi dan perundangan
- Sembilan delegasi Malaysia termasuk pakar perubatan dan aktivis kemanusiaan menyertai, berlayar bersama lebih 150 aktivis dari 25 negara
- MyCARE telah menyalurkan bantuan lebih RM27 juta ke Gaza, masih beroperasi dan mengagihkan bantuan dari penyumbang Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

