Misi FFC x TMTG hampiri Gaza, kurang 24 jam sebelum memasuki zon kuning

SERDANG - Kesemua sembilan kapal yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kini berada kira-kira 200 batu nautika dari pantai Gaza dan dijangka memasuki zon kuning antara tengah malam Rabu hingga awal pagi Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, kedudukan itu menandakan armada flotilla sudah menghampiri kawasan berjaga-jaga sebelum zon merah yang berisiko tinggi berlakunya pintasan oleh tentera Israel.
Beliau menjelaskan, zon merah terletak dalam lingkungan 100 batu nautika dari pantai Gaza, manakala zon kuning antara 100 hingga 200 batu nautika.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kebanyakan pintasan berlaku dalam zon merah. Namun insiden kapal dipintas sejauh 109 batu nautika membuktikan risiko kini bermula lebih awal.
“Sebab itu kapal Conscience bergerak perlahan agar semua kapal dapat beriringan ketika menghampiri kawasan kritikal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MyCARE di sini pada Selasa.
Menurutnya, kapal utama Conscience yang membawa lapan wakil Malaysia kini meneruskan pelayaran secara perlahan untuk bergabung dengan lapan kapal lain sebelum memasuki zon merah.
Beliau menjelaskan, setiap kapal dilengkapi sistem navigasi dan komunikasi bersepadu bagi membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain selain memantau pergerakan keseluruhan armada dengan teliti.
Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, kapal Conscience turut dilengkapi puluhan kamera serta sistem rakaman video berdefinisi tinggi bagi mendokumentasikan setiap detik pelayaran termasuk sebarang kemungkinan serangan atau sekatan oleh tentera Israel.
“Rakaman ini akan menjadi bukti rasmi antarabangsa sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang maritim. Semua bahan bukti akan dimuat naik di laman rasmi Freedom Flotilla Coalition bagi menangkis sebarang propaganda palsu pihak Zionis,” katanya.
Tambah beliau, kapal berkenaan juga disertai pakar undang-undang, wartawan dan pasukan teknikal yang berperanan merekod serta mengesahkan bukti berdasarkan standard perundangan antarabangsa.
Beliau berkata, keadaan cuaca setakat ini baik dan laut tenang, malah semua peserta berada dalam keadaan stabil serta berdisiplin di atas kapal.
Kamarul Zaman turut menjelaskan bahawa setiap peserta telah mengikuti latihan ‘non-violence’ bagi memastikan mereka kekal tenang jika berlaku sebarang provokasi daripada tentera Israel.
“Peserta yang gagal mengekalkan disiplin dan berpotensi bertindak agresif tidak dibenarkan menyertai pelayaran. Latihan ini penting untuk mengelakkan sebarang alasan digunakan pihak Israel untuk bertindak kasar,” jelasnya.
Kapal terbesar iaitu Conscience membawa 10 kru, 20 wartawan antarabangsa, 21 pakar perubatan, tiga Ahli Parlimen Turkiye, 34 aktivis serta enam anggota Jawatankuasa Pemandu FFC.
Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCARE dengan penyertaan 93 peserta dari 22 negara yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu.
Secara keseluruhan, misi TMTG melibatkan 150 peserta dari 25 negara, menjadikannya antara armada kemanusiaan terbesar selepas pelayaran Global Sumud Flotilla baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition x Thousand Madleens to Gaza berada 200 batu nautika dari pantai Gaza
- Zon merah berisiko tinggi berlakunya pintasan oleh tentera Israel terletak dalam 100 batu nautika dari pantai Gaza
- Kapal utama Conscience membawa lapan wakil Malaysia dan dilengkapi sistem navigasi, komunikasi dan puluhan kamera untuk mendokumentasikan perjalanan
- Bahan bukti dari rakaman akan digunakan untuk menangkis propaganda pihak Zionis sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang maritim
- Misi ini melibatkan 150 peserta dari 25 negara menjadikannya antara armada kemanusiaan terbesar selepas Global Sumud Flotilla
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

