Mengurangkan beban ekonomi NCD Malaysia: Peranan generik dan biosimilar

BARU-BARU INI, saya membaca mengenai bagaimana kenaikan premium insurans, perbelanjaan di luar kemampuan serta tempoh menunggu yang panjang telah memaksa isi rumah berpendapatan sederhana dan tinggi di Malaysia bergantung penuh kepada sistem kesihatan awam.
Ini telah menambah tekanan kepada sektor perubatan yang sudah sedia terbeban. Situasi ini sejajar dengan maklum balas yang kami terima secara langsung daripada pengamal perubatan, pasukan kami di lapangan, malah menjadi topik perbualan dalam kalangan rakan-rakan pada acara sosial.
Bagi saya, mesejnya jelas: Malaysia sedang berdepan dengan krisis kos rawatan kesihatan mampu milik, sesuatu yang telah lama dijangka.
Di tengah-tengah cabaran ini adalah beban penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat, termasuk diabetes, penyakit jantung dan kanser.
Penyakit-penyakit ini bukan sahaja meragut nyawa, malah membawa kos kewangan yang besar kepada isi rumah, perniagaan, dan ekonomi negara.
Angkanya amat membimbangkan. Pada tahun 2021 sahaja, NCD menelan kos dianggarkan sebanyak RM64.2 bilion, bersamaan 4.2 peratus daripada KDNK iaitu RM12.4 bilion dalam bentuk kos langsung penjagaan kesihatan awam dan RM51.8 bilion akibat kehilangan produktiviti.
Bagi isi rumah, khususnya golongan B40, penyakit ini sering membawa kepada perbelanjaan kesihatan yang bersifat melampau, meningkatkan risiko terjerumus lebih jauh ke dalam kemiskinan.
Namun lebih daripada sekadar beban ekonomi, kesannya kepada pesakit juga amat ketara. Diabetes menjejaskan sekitar 16 peratus orang dewasa Malaysia, hipertensi sebanyak 29 peratus, kolesterol tinggi 33 peratus dan obesiti 22 peratus.
Lebih membimbangkan, dianggarkan 2.3 juta rakyat Malaysia hidup dengan tiga keadaan penyakit ini secara serentak.
Secara keseluruhan, penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit respiratori kronik menyumbang hampir tiga perempat daripada kematian pramatang di negara ini.
Mari kita merenung sejenak angka ini.
Krisis NCD Malaysia bukan sahaja isu kesihatan tetapi juga isu kelestarian.
Persoalannya: bagaimana kita boleh memastikan setiap ringgit kesihatan dimanfaatkan sepenuhnya supaya pesakit mendapat rawatan yang diperlukan tanpa membebankan isi rumah mahupun sistem itu sendiri?
Sebahagian daripada penyelesaiannya adalah dengan memanfaatkan penggunaan ubat generik dan biosimilar iaitu ubat yang terbukti berkesan, selamat, dan memberikan hasil klinikal setara dengan ubat asal, tetapi pada kos yang jauh lebih rendah.
Secara global, generik dan biosimilar merangkumi kira-kira 80 peratus penggunaan ubat-ubatan berdasarkan jumlah, namun hanya mewakili kurang daripada sepertiga kos keseluruhan.
Jika digunakan lebih meluas dan sistematik, ia mampu menjadi antara alat terkuat Malaysia dalam mengurangkan beban NCD.
Generik dan biosimilar mengurangkan perbelanjaan rawatan tanpa menjejaskan kualiti. Ia meluaskan kuasa setiap ringgit kesihatan, menukar tekanan kos kepada ketahanan sistem dengan membebaskan sumber untuk pencegahan, latihan tenaga kerja dan pembangunan infrastruktur hospital.
Dari segi ekonomi, kesannya jelas. Di peringkat global, pengenalan biosimilar secara konsisten menurunkan kos biologi, mewujudkan peluang kepada akses yang lebih luas.
Di United Kingdom, penjimatan daripada hanya sepuluh ubat biosimilar dan generik mencukupi untuk membiayai sepenuhnya inisiatif seperti UK Cancer Drugs Fund.
Malaysia turut melihat manfaat yang sama: kemasukan biosimilar bagi rawatan seperti insulin dan trastuzumab telah membawa kepada penurunan harga yang ketara serta peningkatan akses, manakala semakan oleh Institut Jantung Negara menganggarkan potensi penjimatan hampir RM130 juta sekiranya penggunaannya diperluas.
Penjimatan ini bukan sekadar angka atas kertas, tetapi mewakili peluang untuk membiayai program saringan nasional, lebih banyak latihan pakar atau menaik taraf hospital bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.
Agenda transformasi kesihatan Malaysia, daripada Kertas Putih Kesihatan hingga ke Rancangan Malaysia Ke-13, mengiktiraf keperluan dan pentinyanya untuk memastikan akses saksama dan kelestarian kewangan bergerak seiring.
Generik dan biosimilar adalah alat dasar semula jadi untuk mencapai matlamat ini, menjamin liputan sejagat tanpa membebankan hospital awam.
Dengan menyelaraskan garis panduan perolehan dan rawatan agar lebih dekat dengan pilihan mampu milik ini, serta membina atas kemajuan terkini seperti pakej saringan baharu NPRA untuk mempercepatkan laluan pengawalseliaan, Malaysia boleh membuka kunci manfaat fiskal dan sosial serentak.
Namun tiada satu pihak berkepentingan mampu melakukannya secara bersendirian. Tugas ini memerlukan kerjasama merentas ekosistem kesihatan.
Pembuat dasar, pengawal selia, penanggung insurans, penyedia perkhidmatan dan kumpulan pesakit mesti berganding bahu mewujudkan persekitaran yang menyokong penerimaan generik dan biosimilar. Ini bukan lagi pilihan tetapi suatu keperluan.
Malaysia tidak mampu mengambil mudah rawatan NCD. Generik dan biosimilar mesti menjadi tonggak tindak balas nasional kita.
Setelah sekian lama meneliti isu kesihatan dari sudut ekonomi, saya yakin inilah antara pelaburan paling bijak yang boleh dilakukan Malaysia.
Akhirnya, generik dan biosimilar bukan sekadar ubat-ubatan, tetapi pengganda ekonomi yang membolehkan setiap ringgit kesihatan pergi lebih jauh dan menjangkau lebih ramai pesakit.
Inilah cara Malaysia boleh melindungi kesihatan rakyatnya dan kelestarian sistem penjagaan kesihatan untuk jangka panjang.
*Carlos Patarrana ialah Ketua Negara, Sandoz Malaysia-Singapura-Brunei
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
